BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya, saya ada beli satu sabun untuk bersihkan kasut, setelah menggunakan sabun tersebut, saya perasan yang ianya di-import dari negara China dan dan produk tersebut tidak menyata isi kandungan secara jelas. Setelah saya basuh tangan, saya terus mencari/menyemak isi kandungan produk tersebut dan cuba menanyakan hal ini kepada penjual namun si penjual juga tidak pasti. Persoalan saya adakah saya perlu sertu kasut saya tersebut, dan juga sertu bahagian lain yang telah saya sentuh (contoh phone, laptop). Sekian terima kasih  


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warna"nya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan kandungan sabun tersebut diperbuat daripada bahan-bahan daripada babi, maka kasut tersebut dan peralatan yang lain adalah kekal bersih dan suci dan tidak perlu disertu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 55

message user image