BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum.

Apakah hukum menyimpan anak-anak patung berupa manusia dan haiwan sebagai perhiasan di susun di atas rak-rak dinding di dalam bilik tidur di rumah?

Patung-patung ini boleh dijadikan permainan untuk anak-anak kecil tetapi tidak dijadikan sebagai permainan, tetapi disusun di atas rak.

Tujuannya sebagai perhiasan semata-mata kerana comel, dan tiada niat lain.

Betulkah malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada menyimpan patung?

Terima kasih kerana menjawab persoalan ini.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan hadis Nabi SAW: 

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Imam al-Nawawi berkata:

قَالَ الْعُلَمَاءُ سَبَبُ امْتِنَاعِهِمْ مِنْ بَيْتٍ فِيهِ صُورَةٌ كَوْنُهَا مَعْصِيَةً فَاحِشَةً وَفِيهَا مُضَاهَاةٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَبَعْضُهَا فِي صُورَةِ مَا يُعْبَدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Menurut para ulama’, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar patung. Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar patung itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT. Manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan.

Merujuk kepada persoalan puan, menyimpan patung adalah dibolehkan selagimana patung tersebut tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau bertujuan untuk disembah atau dipuja. Akan tetapi sekiranya patung berkenaan digunakan sebagai bahan pujaan, atau diletakkan di tempat yang dihormati sehingga membawa kepada penyucian, maka jelas perkara tersebut haram dan dilarang sama sekali. 

Adalah digalakkan supaya ia dielakkan agar tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan, kemuliaan dan sebagainya dalam hati kita. Jika kita dapat mengelakkan diri daripada sebarang bentuk syubhah adalah sangat digalakkan, sebagaimana kaedah feqah menyebutkan :

الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan.”

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 91

message user image