Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT.
Tuan,
Saya ingin bertanya satu soalan.
Adakah Sah Solat Fardhu Jumaat jika Khatib tertinggal perkataan “ على “ yang pertama dalam selawat ke atas Nabi Muhammad SAW ketika Khutbah Jumaat dibacakan ( Rukun Khutbah)
اللَّهُمَّ صَلِّ *عَلَى* مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Harap pihak tuan dapat membantu kekeliruan yang sedang kami para jemaah hadapi sekarang ini.
Jawapan dari pihak tuan amat saya harapkan dan didahului dengan ucapan Terima Kasih.
Sekian.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, lafaz pujian kepada Allah SWT dan lafaz selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan suatu ketetapan oleh syarak. Meninggalkan huruf jar ‘Ala (على) pada lafaz selawat dalam khutbah, para fuqaha mazhab shafi’i tidak memaafkan lafaz selawat kurang daripada (اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ) termasuk menggantikan lafaz Muhammad kepada dhomir. Hanyasanya penggantian yang dibenarkan adalah dengan menggantikan lafaz Muhammad dengan nama-nama Baginda yang lain seperti Al-Hasyir, Al-’Aqib atau Al-Mahi seperti yang disebutkan. Sehubungan dengan itu, sekiranya yakin lafaz selawat ke atas Nabi SAW dalam khutbah Jumaat yang dilafazkan tanpa menyabut “’Ala” adalah tidak sah dan wajib diganti dengan solat Zohor.
Namun begitu, sekiranya berlaku sebarang kemusykilan berkaitan kesahan solat Jumaat, pihak pengurusan masjid atau surau diri Jumaat yang melaksanakan solat Jumaat perlu merujuk kepada pihak Jabatan Mufti Negeri secara rasmi bagi mendapatkan pengesahan.
Sekian, terima kasih.