BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. maaf saya nak bertanya, macam mana dengan sumber rezeki suami yang tengok aurat perempuan setiap hari? saya sejujurnya sebagai isteri memang saya tak redha langsung tapi bila saya suarakan, suami cakap dia tak tengok dan mula cari kat mana aurat saya yang tak sempurna. saya cuba pakai selabuh yang boleh dan kadang2 tersilap sikit tu ada sbb tak sempurna sepenuhnya mcm contoh handsock tersingkat sedikit tanpa sengaja, baju ternampak bentuk badan sedikit sbb badan berisi. tapi saya cuba yang terbaik.

Suami bekerja sebagai jurulatih muaythai. sebelum ni semua pelajar dia lelaki. tapi sekarang dia semakin banyak bukak kelas mengajar pelajar perempuan yang memang berpakai ketat dan singkat. ada yang nampak lurah dada dan bawah. saya sedih dengan keadaan ni tapi suami saya pertahankan dia buat benda yang tak salah. mohon pencerahan ustaz/ustazah. terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan agar menjaga pandangan, aurat dan kehormatan diri masing-masing. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 30;

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِینَ یَغُضُّوا۟ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَیَحۡفَظُوا۟ فُرُوجَهُمۡۚ ذَ ٰ⁠لِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا یَصۡنَعُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Memandangkan pekerjaan suami mudah terdedah kepada pakaian perempuan yang tidak menutup aurat, maka suami sebagai majikan perlu bertindak seperti menetapkan peraturan atau menjaga pandangannya bagi mengelakkan dosa melihat aurat orang lain. Namun begitu, kesalahan pada tidak menutup aurat dipertanggungjawabkan kepada individu itu sendiri kerana siapa yang melakukan kesalahan dialah yang menanggung dosanya sendiri. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 164;

وَلَا تَكۡسِبُ كُلُّ نَفۡسٍ إِلَّا عَلَیۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرۡجِعُكُمۡ فَیُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِیهِ تَخۡتَلِفُونَ

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).          

Berkenaan dengan sumber rezeki, asalkan bukan dari sumber yang haram seperti arak, judi, riba dan seumpamanya maka ia adalah harus. Dan bertambah berkat apabila dikeluarkan zakat pendapatan ke atasnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 83

message user image