Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Soalan saya dlam tempoh iddah, suami isteri telah bersama, tanpa lafaz Rujuk dan mmg tiada Niat hendak rujuk, adakah masih Boleh diteruskan kaedah 3 Kali Suci? Atau Perlu Di tambah. Dan Apakah Status pasangan tersebut sekiranya tiada Lafaz rujuk sehingga habis Tempoh iddah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, dalam mazhab Shafi’i melakukan persetubuhan dalam tempoh iddah adalah haram. Suami juga diharamkan berseronok-seronok dengan bekas isterinya yang ditalak raj’ie sebelum dirujuk. Jika suami ingin merujuk kembali isteri, mestilah dengan lafaz rujuk, bukannya dengan sengaja melakukan persetubuhan. Mereka yang telah melakukan kesalahan tersebut hendaklah segera bertaubat.
Harus bagi suami merujuk isterinya yang telah diceraikan dengan talak satu atau dua walaupun tanpa izin (kerelaan) isterinya, kerana tidak disyaratkan kerelaannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228;
Maksudnya : “Dan suami-suaminya berhak merujuknya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) menghendaki islah (kebaikan)”.
Hikmah iddah bagi talak raj'ie adalah memberi peluang kepada pasangan agar dapat berbaik semula dan rujuk kembali semasa dalam tempoh tersebut. Jika tempoh tersebut di salah guna, diambil kesempatan, bersekedudukan tanpa niat untuk rujuk, maka jelaslah mereka telah melakukan kesalahan yang nyata. Jika masih tiada lafaz rujuk sehingga habis tempoh iddah, maka pasangan bukan lagi suami isteri dan bukan mahram.
Secara umumnya, tempoh iddah tersebut diteruskan seperti sediakala iaitu dengan 3 kali suci. Namun begitu, perkara ini hendaklah dilaporkan ke Pejabat Agama Islam Daerah untuk penjelasan dan tindakan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.