Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya telah selesai tahallul. Ketika ingin keluar masjid, timbul keraguan adakah stokin sy nipis dan menampakkan kulit. Saya telah pakai dua lapis stokin hitam.
Bila dilihat pada jarak dekat, saya tidak pasti adakah kelihatan samar samar warna kulit atau ianya hanya benang stokin.
Saya lampirkan contoh gambar kulit kelihatan (dalam jarak dekat) jika saya pakai satu (1) lapis sahaja.
Namun ketika umrah tersebut, saya telah pakai dua (2) lapis stokin (tiada lampiran gambar) sebagai langkah berhati hati namun timbul keraguan selepas itu jika ianya belum memadai menutup warna kulit.
Adakah sah umrah saya ?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sesuatu ibadah itu tertakluk kepada keyakinan dan tidak dikira sebarang syak yang berlaku. Di dalam firman Allah S.W.T dalam surah Yunus ayat 36 :
Maksudnya : Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.
Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan : Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan.
Justeru, melihat kepada situasi yang dialami oleh puan dalam pelaksanaan ibadah umrah adalah sah kerana puan hanya sekadar ragu-ragu. Selain itu, aurat yang diiktibarkan secara jelas mengikut jarak adalah dalam jarak majlis perbualan. Hal ini disebutkan oleh para ulama seperti Imam al-Syairazi menyatakan, kadar dikira menutup aurat itu adalah tidak menampakkan warna kulit. Syeikh Zainuddin al-Malibari pula menjelaskan, ia hendaklah tidak menampakkan warna kulit dalam situasi perbualan [jarak kedudukan kebiasaan bagi dua orang atau beberapa orang berbual]. Dalam fiqh, istilahnya dipanggil sebagai majlis al-takhatub (majlis percakapan/perbualan). Oleh itu, secara adatnya warna kulit tidak akan kelihatan berdasarkan jarak yang telah disebutkan sebelum ini.
Sekian, terima kasih.