Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. maaf saya nak bertanya, macam mana dengan sumber rezeki suami yang tengok aurat perempuan setiap hari? saya sejujurnya sebagai isteri memang saya tak redha langsung tapi bila saya suarakan, suami cakap dia tak tengok dan mula cari kat mana aurat saya yang tak sempurna. saya cuba pakai selabuh yang boleh dan kadang2 tersilap sikit tu ada sbb tak sempurna sepenuhnya mcm contoh handsock tersingkat sedikit tanpa sengaja, baju ternampak bentuk badan sedikit sbb badan berisi. tapi saya cuba yang terbaik.
Suami bekerja sebagai jurulatih muaythai. sebelum ni semua pelajar dia lelaki. tapi sekarang dia semakin banyak bukak kelas mengajar pelajar perempuan yang memang berpakai ketat dan singkat. ada yang nampak lurah dada dan bawah. saya sedih dengan keadaan ni tapi suami saya pertahankan dia buat benda yang tak salah. mohon pencerahan ustaz/ustazah. terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan agar menjaga pandangan, aurat dan kehormatan diri masing-masing. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 30;
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
Suami puan juga telah mengatakan bahawa dia tidak melihat aurat perempuan. Perempuan yang tidak menjaga auratnyalah yang bersalah. Justeru, siapa yang melakukan kesalahan dialah yang menanggung dosanya sendiri. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 164;
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
Sewajarnya perlu ada pengasingan tempat latihan di antara pelatih lelaki dan wanita, serta tidak terdapat percampuran di antara mereka.
Berkenaan dengan sumber rezki suami yang bekerja sebagai pelatih adalah halal selama tidak melibatkan perkara yang diharamkan dari segi syarak.
Sekian, terima kasih