Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti,disini ada sdikit soalan tentang status hasil pendapatan/gaji.Soalan saya ialah :-
1)Adakah Halal bagi pendapatan individu yang bekerja dengan Syarikat yang menyokong keganasan Israel.
2)Apakah hukum sekiranya anak menggunakan atau membelanjakan wang yang diperolehi oleh ibu bapa yang hasil pendapatannya melalui pekerjaan syarikat yang menyokong keganasan Israel.
Jawapan
1. Hukum bekerja di syarikat yang menyokong Israel adalah bergantung kepada sektor pekerjaan yang diceburi. Sekiranya sektor persenjataan, teknologi dan kewangan yang menyumbang secara langsung kepada Israel bagi peperangan di Palestin atau di mana-mana sahaja, maka pekerjaannya adalah haram dan perlu mencari pekerjaan lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Sekiranya bekerja di syarikat yang menyokong atau mungkin dikatakan menyumbang kepada Isreal, maka pendapatannya tidak menjadi haram. Namun, sebagai solidariti kepada rakyat Palestin maka digalakkan untuk mencari pekerjaan lain.
2. Tidak menjadi masalah untuk si anak menggunakan wang pemberian ibu dan ayah bagi keperluan di rumah atau apa sahaja.
Adapun segala tindakan berkaitan boikot mestilah didasari dengan ilmu, kerana ditakuti tindakan boikot lebih memudharatkan diri sendiri dan masyarakat Islam berbanding Israel. Justeru perlu dipastikan kesahihan syarikat tersebut dan semoga tindakan kita ini akan mempunyai ganjaran di sisi Allah SWT.
Sekian, terima kasih