BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Yang Berbahagia Sohibus Samahah Dato Mufti

Yang dihormati panel soal jawab agama Jbtn. Mufti Negeri Selangor

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Saya mohon izin untuk bertanya masalah berikut : 

 

Jika pihak masjid telah membuat ketetapan bahawa kawasan-kawasan tertentu di masjid adalah kawasan/ruang solat utama, contohnya kawasan yang berkarpet ditetapkan sebagai tempat solat utama

 

1- Adakah hanya diruang berkarpet tersebut sahaja yang dibolehkan solat sunat tahiyyatul masjid?

2- Adakah solat sunat tahiyyatul masjid terpakai jika di kawasan yang tidak berkarpet?

3- Adakah dibenarkan jemaah wanita yang uzur duduk berlama-lama di tempat yang tidak ditetapkan sebagai ruang solat/tidak berkarpet?

4- Bolehkah wanita yang uzur duduk berlama-lama di kawasan koridor masjid yang merupakan ruang tambahan dan bukan ruang solat utama?

Mohon sudi memberi jawaban dan terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Batas suci masjid merujuk kepada kawasan yang ditentukan sebagai bahagian rasmi masjid yang dihukumkan sebagai tempat ibadah dan suci. Penetapan batas ini penting untuk menentukan hukum-hukum tertentu yang berkaitan dengan masjid, seperti:

  1. Solat tahiyyatul masjid.
  2. Larangan membawa masuk najis.
  3. Keutamaan beribadah di dalam kawasan masjid.
  4. Larangan bagi wanita haid atau orang berjunub untuk berada di dalamnya.

Oleh itu, berdasarkan kepada persoalan tuan,

1) Sekiranya pihak jawatankuasa masjid telah menetapkan bahawa ruang berkarpet adalah batas suci masjid, maka hanya di ruangan tersebut sahaja yang dibolehkan solat sunat tahiyyatul masjid.

2) Tidak sah solat tahiyyatul masjid di kawasan selain kawasan batas suci masjid seperti kawasan yang tidak berkarpet. Ini kerana kawasan yang tidak berkapet tidak diisytiharkan sebagai kawasan batas suci masjid, kecuali pihak masjid mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai zon batas suci.

3) Bagi jemaah wanita yang sedang haid berada dalam kawasan masjid yang bukan dalam batas suci masjid adalah dibenarkan, selagi kawasan itu tidak dihukumkan sebagai sebahagian daripada batas suci masjid. 

4) Selagimana kawasan koridor masjid tersebut bukan dalam batas suci masjid, maka dibolehkan wanita yang uzur duduk berlama-lama di kawasan tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 60

message user image