Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Saya ada soalan berkaitan dengan barang kutleri yang dibeli secara online dari luar negara. Bolehkah kita menggunakan kutleri yang dibeli secara online yang tidak diketahui status kesucian nya dari najis terutamanya najis berat? Ini kerana saya ingin membeli kutleri namun ianya daripada luar negara, jadi saya tertanya adakah boleh saya gunakan kutleri itu untuk makan makanan sedangkan saya tidak pasti samada ianya suci daripada najis berat.
Mohon penjelasan Tuan/Puan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyatakan di dalam kitabnya:
Maksudnya: Asal pada benda-benda yang dijual dan dibeli adalah suci kecuali ada dalil yang pasti menyatakan ianya najis. (Al-Majmu‘ Syarh al-Muhadzzab, jil. 1, ms. 174)
Oleh itu, jika tiada bukti kukuh yang menunjukkan kutleri itu diperbuat daripada najis berat, maka ia dianggap suci dan boleh terus digunakan.
Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan di dalam kitabnya:
Maksudnya: Jika seseorang membeli sesuatu dari tempat orang bukan Islam, tidak wajib memeriksa status najisnya, melainkan terdapat bukti jelas bahawa ia terkena najis. (Tuhfah al-Muhtaj, jil. 1, ms. 313)
Berdasarkan kenyataan tersebut bahawa tiada tuntutan yang mewajibkan untuk menyiasat secara terperinci status kesucian kutleri tersebut sehingga membawa kepada perkara yang menyukarkan.
Namun jika masih ragu-ragu, anda boleh melakukan prinsip ihtiyat (berhati-hati) dalam agama dengan cara mencuci kutleri tersebut seperti biasa (memadai air mutlak sahaja atau beserta sabun) terlebih dahulu sebelum menggunakannya.
Sekian, terima kasih.