Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya soalan mengenai cerai Li'an.
Sekiranya suami bergurau bertanya pada si isteri sekiranya ada berzina dengan pihak ketiga adakah ianya termasuk dalam kategori cerai Li'an?
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan di atas, ia tidak dihukumkan sebagai li'an, ini kerana li'an adalah sumpah seorang suami apabila ia menuduh isterinya melakukan zina. Sumpah itu diucapkan sebanyak empat kali, bahawa tuduhan itu benar dan pada sumpah yang kelima ia meminta kutukan daripada Allah SWT sekiranya ia berdusta. Di samping itu, proses li'an hendaklah dilakukan di dalam Mahkamah Syariah.
Li'an dilakukan apabila suami menuduh isteri melakukan zina tanpa saksi. Dalam kes yang dinyatakan dalam soalan di atas, suami tersebut hanya bertanya secara bergurau tanpa menuduh atau bersumpah menuduh isterinya berzina dengan orang lain.
Sekian, terima kasih.