Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , kucing saya digigit oleh anjing. perlu ke saya samak guna tanah ? sebab kucing tu saya perlu bawah kedalam rumah. boleh ke saya cuci guna sabun taharah sahaja ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tidak perlu menyertu kucing tersebut kerana kucing tidak mukallaf. Namun, jika terdapat kesan air liur anjing yang mengigit kucing dan puan memegangnya, maka perlu disertu tangan puan dengan cara tujuh kali basuhan – satu kali dengan air tanah dan enam kali dengan air mutlak. Puan juga boleh menggunakan sabun taharah atau sabun tanah liat dalam salah satu daripada 7 kali basuhan ketika melakukan sertu. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat dan telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.
Sekian, terima kasih.