BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualakum, soalan saya sekiranya hari ini saya ada urusan kerja dan destinasi sekitar 60km dari rumah, esok pula saya perlu ke satu tempat lagi yang destinasi sekitar 100km dari tempat hari ini, adakah boleh jamak dari keluar rumah atau hanya boleh jamak keesokan harinya? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Merujuk persoalan yang diajukan;

Berdasarkan soalan yang diajukan, bagi urusan kerja yang destinasi nya sekitar 60km dari rumah dan kemudian kembali semula ke rumah, maka tidak boleh jamakkan solat kerana tidak mencapai kadar 2 marhalah. Kadar 2 marhalah adalah 81 km. Manakala untuk perjalanan keesokan harinya yang mana destinasi melebihi 2 marhalah dari rumahnya dibolehkan solat jamak kerana telah melebihi kadar 2 marhalah tetapi perlu juga dipastikan syarat-syarat yang lain dapat dipenuhi iaitu:- 

Antara syarat-syarat untuk solat jamak dan qasar ialah:-

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. 

Namun,jika perjalaan dari rumah ke destinasi yang pertama dengan jarak 60 km kemudian menetap semalam di destinasi tersebut, kemudian esoknya meneruskan perjalanan kedua dengan jarak 100km daripada destinasi pertama yang jika dicampukan daripada rumah ke destinasi kedua telah melebihi kadar 2 marhalah, maka diharuskan untuk jamak dan qasar ketika bermula keluar daripada rumah. Ini kerana tujuan utamanya adalah ke destinasi kedua. Destinasi pertama sebagai tempat persinggahan sebelum sampai ke destinasi utamanya. 

.والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 54

message user image