BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah,

Saya ingin bertanya berkenaan dengan pengiraan fidyah. Saya ingin menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa zaman persekolahan dahulu dan juga membayar fidyah yang bagi tempoh tersebut. Saya maklum berkenaan dengan pengiraan berganda di mana saya perlu memasukkan sekali pengiraan bilangan tahun yang ditinggalkan. 

Persoalan saya adalah sekiranya saya meninggalkan puasa pada tahun 1999 dan telah membayar fidyah untuk tempoh 26 tahun yang saya masih belum menggantikan puasa dan pada tahun terkini, saya masih belum dapat menggantikan puasa pada tahun 1999 kerana berusaha menggantikan puasa bagi tahun yang lain terlebih dahulu, adakah pengiraan fidyah tahun 1999 saya masih bermula dari tahun 1999 ataupun pengiraan fidyah bagi 26 tahun sejak tahun 1999 selesai pada tahun 2025 dan pengiraan baru fidyah saya bagi tahun 1999 bermula dari tahun 2025. 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, fidyah adalah kewajipan yang berasingan dan tidak menggugurkan kewajipan qada’ puasa yang ditinggalkan. Berdasarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001, memutuskan bahawa fidyah boleh dibayar dengan dua cara:

i. Gandakan fidyah dan kafarah mengikut tahun.

ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kafarah.

Ini bermakna umat Islam boleh memilih cara yang bersesuaian mengikut keupayaan dan kemampuan masing-masing, berganda atau tidak berganda. Bagi yang memilih kaedah berganda, selagi puasa tersebut tidak diganti maka ia akan terus berganda dari setahun ke setahun. Hitungan bermula dari tahun pertama hingga tahun terkini.  

Saudari disarankan melayari laman sesawang Lembaga Zakat Selangor di pautan http://www.zakatselangor.com.my/calkulator-zakat/kalkulator-fidyah/ untuk mendapatkan kiraan spesifik atau hubungi secara langsung ke kaunter LZS bagi mendapatkan keterangan lanjut atau di kaunter Baitulmal MAIS atau Baitulmal Daerah yang terdapat di Pejabat Agama Islam Daerah dalam negeri Selangor. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 106

message user image