Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera.
Saya, Fakhruddin bin Sharil, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Sains (Pengkhususan Biologi), dari Universiti Malaya berhajat untuk mendapatkan pandangan daripada pihak Tuan berkenaan dengan Subjek Penulisan Ilmiah (SIX3001) yang saya sedang ikuti semester ini dibawah tajuk "Utilization of Insects and its derivative as food and feed resources - level of permissibility in Islam".
Para Ulama' berselisih pendapat berkenaan dengan isu memakan serangga dan penggunaan produk makanan berasaskan serangga, contohnya seperti vitamin yang diperbuat daripada serangga dan banyak lagi contoh lainnya. Jadi saya ingin bertanya, apakah pendapat pihak Tuan berkenaan dengan hukum penggunaan serangga dalam bentuk makanan dan bagaimana pihak Tuan membuat penilaian status kebolehmakanan serangga dan produk berasaskan serangga ini? Apakah dalil atau rujukan yang diambil kira oleh pihak Tuan?
Selain itu, terdapat soalan lain yang timbul berkaitan dengan ini isu ini:
1. Serangga kotor dan jijik seperti lipas haram dimakan. Jadi adakah bahan yang dihasilkan daripada serangga ini seperti 'chitin' yang dari segi saintifiknya terbukti memberi manfaat juga haram diambil? (Jika kita hanya mengambil bahan yang baik sahaja tanpa mengambil keseluruhan serangga tersebut). Apakah pendapat pihak Tuan berkenaan dengan ini dan bagaimana pihak Tuan membuat penilaian, beserta rujukan atau dalil yang diguna pakai?
2. Adakah terdapat sebarang hukum jika memberi binatang ternakan seperti ayam, lembu dan lain-lainnya memakan serangga?
3. Jika binatang ternakan seperti lembu diberi makan serangga yang kotor atau haram dimakan manusia, apakah hukum kita memakan daging lembu tersebut adakah boleh digunakan konsep istihalah dalam hal ini?
4. Serangga yang habitat asalnya adalah kotor tetapi sekarang diternak dan dikawal dalam persekitaran yang bersih dan diberi makan makanan yang bersih. Adakah boleh terjadinya perubahan hukum dari haram kepada harus/halal jika serangga tersebut dikonsumi oleh manusia dalam bentuk makanan?
5. Sekarang dengan kemajuan teknologi sains, serangga berbisa seperti kala jengking kita boleh mengubah genetiknya dan menghasilkan serangga baru yang tidak mempunyai bisa. Apakah pendapat pihak Tuan jika serangga ini digunakan dalam produk makanan atau suplemen?
Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih dan mohon pencerahan bagi semua soalan saya ini.
Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Secara asasnya, menurut pandangan jumhur fuqaha termasuk mazhab Syafi'i, serangga dan benda yang jijik adalah haram untuk memakannya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-A'raf ayat 157:
Maksudnya: Dan dia (Rasulullah SAW) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.
Juga kaedah yang menyebutkan: "Apa-apa yang dianggap jijik (kotor) oleh orang Arab semasa zaman Nabi SAW seperti serangga, maka ia adalah haram kecuali terdapat dalil yang mengharuskannya".
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Seperti yang diketahui, serangga adalah sesuatu yang dianggap jijik dan memakannya adalah haram. Walaupun begitu, masih boleh mengambil manfaat daripadanya jika terdapat sebarang kebaikan. Akan tetapi, disebabkan ia adalah najis, maka pengambilannya hanya terhad semasa darurat sahaja seperti digunakan dalam perubatan dalam keadaan tidak terdapat alternatif lain yang halal. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh الضروريات تبيح المحظورات iaitu darurat mengharuskan perkara yang perkara yang dilarang.
2. Memberi makan bernajis kepada binatang ternakan adalah harus seperti yang dinyatakan dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzab.
3. Isu ketiga ini berkait rapat dengan binatang jallalah iaitu binatang ternakan yang makan sesuatu yang bernajis. Mengikut mazhab Syafi'i, makruh hukumnya makan binatang jallalah. Kemakruhan ini disebabkan perubahan rasa, warna dan bau pada daging binatang jallalah ini. Akan tetapi, harus makan binatang jallalah ini apabila binatang ini dikuarantin terlebih dahulu dan diberi makanan yang bersih sebelum disembelih. Manakala menggunakan kaedah istihalah dalam isu ini adalah tidak bertepatan dengan mazhab Syafii. Ini kerana, istihalah dalam mazhab Syafii hanyalah khusus kepada arak yang bertukar menjadi cuka secara semula jadi.
4. Tidak akan berubah hukum. Ini kerana serangga dianggap sebagai benda yang jijik.
5. Secara umumnya, pengubahan genetik pada serangga tersebut tidak mengubah hakikat bahawa ia kekal sebagai serangga.
Sekian, terima kasih.