Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum
Berkaitan fatwa yang diwartakan bahawa Ismail Arffin @ Lepat adalah difatwakan sesat, untuk makluman Tuan, saya mengenali beliau dan banyak kali berjumpa serta bersoal-jawab termasuk perihal berkaitan fahaman beliau. Dari pengalaman saya berbual dan bersahabat dengan beliau tiada masalah berkaitan fahaman dan pegangannya bagi pihak saya. Soalan saya:
1) Bagaimana kaedah yang digunakan oleh pihak Mufti sendiri & pejabat Mufti bagi memfatwakan seseorang/individu tersebut sesat?
2) Adakah pihak Mufti sendiri & pejabat Mufti akan melakukan perjumpaan terdahulu dengan individu yang dirasakan menyeleweng fahamannya sebelum keputusan fatwa kesesatan dikeluarkan?
Bagaimana dengan kes saudara Ariffin Ismail @ Lepat dalam keputusan fatwa ini, adakah perjumpaan dilakukan oleh pihak Mufti sendiri dengan saudara Lepat sebelum keputusan sesat dikeluar & difatwakan?
Jika ada, boleh maklumkan bila & di mana perjumpaan dilakukan?
3) Jika individu tersebut difatwakan sesat, apakah kaedah oleh pihak Mufti sendiri bagi membantu memperbetulkan fahaman individu tersebut? Adakah akan ada perjumpaan seterusnya seperti kaunseling @ soal-jawab bagi memperbaiki kesalah-fahamannya berkaitan bidang-bidang yang pihak mufti sendiri telah wartakan di dalam dokumen fatwa tersebut?
4) Senarai perkara berkaitan Saudara Ariifin Ismail @ Lepat yang diwartakan sebagai sesat tersebut adakah dilakukan selepas sesi perjumpaan & soal-jawab dengan Saudara Ariffin Ismali @ Lepat sendirikah?
Saya amat berterima kasih jika pihak Mufti dapat memberi perhatian & mencerahkan persoalan-persoalan di atas.
Assalammualaikum
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan bahawa:
1) Setiap fatwa yang dibuat akan melalui beberapa proses atau tatacara pembuatan fatwa di negeri Selangor iaitu berdasarkan seksyen 48, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 termasuklah bagi fatwa Fahaman dan Ajaran Makrifat oleh Ismail bin Ariffin @Lepat.
Tatacara pembuatan fatwa tersebut dimulai dengan kajian yang telah dilaksanakan di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan penelitian yang mendalam terhadap ciri-ciri penyelewengan yang wujud dalam ajaran tersebut yang didapati jelas bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah. Kemudian, kajian tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Setiap bukti yang dikemukakan telahpun diteliti dengan cermat sebelum jawatankuasa membuat keputusan. Tidak terhenti setakat itu, setelah keputusan dibuat, ia dibentangkan pula di dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk ditimbang teliti dan kemudiannya diangkat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk perkenan. Setelah mendapat perkenan, keputusan fatwa tersebut sekali lagi dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai makluman sebelum ia diwartakan. Justeru, fatwa yang dikeluarkan jelas melalui proses yang panjang, dibahas dan diteliti dari pelbagai sudut dan dinilai oleh ramai pakar dalam pelbagai bidang khususnya bidang akidah.
2) Individu seperti pemimpin, bekas pengikut ataupun saksi yang terlibat dengan sesuatu ajaran yang menyeleweng daripada akidah Ahli Sunah Waljamaah pada kebiasaannya akan dipanggil untuk dinilai kesahihan dakwaan penyelewengan tersebut sama ada dipanggil di peringkat persekutuan (JAKIM) mahupun negeri (Jabatan Agama Islam Selangor/ Jabatan Mufti Negeri Selangor) berdasarkan kepada keperluan. Jika berkaitan dengan ajaran yang terkandung dalam buku atau bahan bertulis, ia juga memadai sebagai keterangan yang kuat.
Merujuk kepada kes Fahaman dan Ajaran Makrifat oleh Ismail bin Ariffin @Lepat ini, Jawatankuasa Fatwa telah melihat bukti penyelewengan menerusi video dan buku penulisan beliau sendiri.
3) Jabatan Mufti secara dasarnya memberi penjelasan dan bimbingan menerusi program-program penjelasan mengenai kerangka akidah yang sebenar kepada masyarakat secara umum. Adapun, pemulihan secara langsung kepada individu terbabit dilaksanakan dengan kerjasama JAIS menerusi bimbingan kaunseling atau program alternatif seperti kelas tafaquh dan modul-modul yang telah dirangka untuk mereka ikuti selama beberapa sesi sehinggalah bertaubat dan ada juga yang dipulihkan di Pusat Pemurnian Akidah, Sabak Bernam.
4) Senarai elemen yang dinyatakan dalam fatwa tersebut adalah diambil kira daripada kesemua bukti dalam bentuk video serta buku-buku karya penulisan beliau yang mana telah dinilai dan ditimbang teliti sebaiknya oleh Jawatankuasa Fatwa.