Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang situasi saya untuk memudahkan dan memberi kefahaman lagi tentang cara pembahagian harta.
Ibu saya telah meninggal. Semasa dia hidup, arwah telah menerima harta berbentuk tanah dari ibunya iaitu nenek saya yang masih lagi hidup sehingga kini. Ibu saya sempat berkahwin dengan ayah tiri saya yang mana memang sudah mempunyai 3 orang anak perempuan (saudara tiri saya). Jadinya , keluarga saya sekarang ni terdiri daripada ayah tiri, 3 orang adik beradik tiri perempuan dan saya berserta seorang kakak kandung saya. Persoalan saya, 1) bolehkah harta (tanah) tersebut diambil atau ditukarkan semula kepada nenek saya? 2) Kalau pembahagian harta mengikut sistem faraid, siapakah yang akan mendapat bahagian daripada tanah tersebut? terima kasih :)
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Soalan 1: Harta yang telah dihibahkan telah bertukar milik dan tidak boleh diambil semula kepada si pemberi. Justeru, harta berbentuk tanah dari diberikan oleh nenek yang masih lagi hidup sehingga kini kepada arwah ibu puan tidak boleh ditukar milik kepada nenek puan semula kerana pemiliknya telah meninggal dunia.
Soalan 2: Mengikut hukum faraid, hanya keluarga sebelah ibu puan yang layak menerima harta pusaka arwah ibu, iaitu ayah tiri, puan, adik beradik puan dan nenek. Manakala anak tiri/saudara tiri tidak berhak mewarisi harta puasaka tersebut.
Sekian, terima kasih.