Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam dan terima kasih pihak tuan mufti.
Saya ingin bertanya soalan berkaitan dengan masalah saya kini. Saya dan isteri adalah penjawat awam. Baru-baru ini beliau telah memohon dan dapat kenaikan pangkat. Sedangkan saya masih sama. Namun saya sudah menyatakan saya tidak izin dan redha jika beliau memohon kenaikan pangkat dan mendahului saya. Dan saya nyatakan ini sejak bertahun2 dahulu lagi. Apa-apa pun mesti saya dahulu sebagai suami. Apakah isteri saya tidak perlu izin, kebenaran dan redha saya untuk menjawat jawatan lebih tinggi? Minta sangat jawapan dari tuan mufti kerana sudah berbulan saya mencari jawapan dan saya betul-betul tertekan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara asasnya dalam Islam seorang isteri wajib mematuhi perintah suaminya selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak. Malahan pula, isteri adalah dibenarkan bekerja dengan keizinan suami.
Walaupun suami berhak menentukan keizinan tersebut kepada isteri, dalam keadaan tuan telah mengizinkan isteri bekerja. Selagi mana seorang isteri itu seorang yang bertanggungjawab, masih mampu menghormati suami dan mampu menyeimbangkan antara kehidupan berumah tangga dengan kerjaya, maka tiada halangan untuk seorang isteri dinaikkan pangkat dalam kerjayanya. Tiada syarat di dalam Islam bahawa seorang suami mesti lebih tinggi pangkat atau seumpamanya daripada isteri, bahkan Islam melihat dari sudut kemampuan seorang isteri dalam mentaati dan menghormati suaminya.
Seorang isteri yang bekerja mencari rezeki yang halal ditambah pula boleh turut sama membantu meringankan kos perbelanjaan dalam rumah tangga, hukumnya adalah harus dengan izin suami. Adapun dalam bab kenaikan pangkat, ia dilihat dari sudut rezeki yang Allah kurniakan kepada hambaNya. Sekiranya sudah sampai tempoh yang melayakkan seseorang itu untuk naik pangkat, ia merupakan peluang yang baik dan boleh dipertimbangkan.
Sehubungan itu, sebagai suami isteri perlu bertimbang rasa, sabar, ikhlas, redha dan yakin kepada ketentuan rezeki oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 37:
Maksudnya: Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezeki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.