Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Saya ingin bertanya di pejabat sy mengadakan program exchange gift di mana diadakan melalui undian dan peserta perlu memasukkkan barang yang diingini dan harga dalam lingkungan rm60-rm70. Walaubagaimanapun semua kakitangan di jabatan tersebut harus menyertainya walaupun tidak menghadiri prgoram pertukaran hadiah. Persoalan saya apakah hukum dari segi agama Islam dan apakah tindakan yang harus dilakukan dimana terdapat unsur paksaan dan adakah ia akan menjejaskan hubungan harmoni jabatan tersebut?, Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan. Memberi dan menerima hadiah adalah amalan yang dianjurkan dalam Islam kerana ia dapat mengeratkan silaturahim. Daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling menyayangi. (Riwayat al-Bukhari)
Secara umum berdasarkan hadis di atas memberi dan menerima hadiah adalah perkara yang baik dan wajar dilakukan oleh sesiapa sahaja, namun ia mestilah dilaksanakan dengan mengikut panduan yang ditetapkan oleh syarak. Sekiranya program pertukaran hadiah tersebut berbentuk maksiat kepada Allah SWT, maka wajib untuk tidak menyertainya. Adapun majlis yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara rakan sekerja, maka ia wajar untuk disertai. Pertukaran hadiah yang berlaku di dalam majlis tersebut adalah melibatkan semua kakitangan, semua akan memperolehi hadiah walaupun tidak hadir dan tiada unsur kerugian kerana nilainya sama antara semua hadiah. Sebaiknya lakukan perbincangan bagi mendapatkan keputusan majoriti, jika majoriti setuju maka ia akan lebih mudah untuk dilaksanakan tapi jika sebaliknya carilah alternatif lain untuk laksanakan program yang boleh diterima oleh semua kakitangan.
Sekian, terima kasih.