Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya ketika saya sedang berpantang suami ada melakukan satu perkara tanpa pngetahuan saya yg tidak saya sukai dan akhirnya perkara itu saya mengetahui dan saya beremosi dan menangis. Untuk menghentikan kesedihan dan tangisan saya ketika itu, suami berjanji tidak akan mengulangi perkara tersebut lalu saya berkata "kalau abiy masih buat"? Suami:" kalau saya buat, kita takde pape". Saya ada bercakap dengan suami jangan buat main perkara ni tapi dia pernah berkata dia tak pernah maksudkan atau niat sama sekali maksud kita takde pape tu merupakan menceraikan saya atau berpisah atau apa2 dia sayangkan saya dan anak-anak, dia hanya niat mahu buat saya berhenti menangis dan meyakinkan saya yang dia tidak akan mengulanginya lagi. Apa yang saya khuatir sekarang dia ada mengulangi perbuatan tersebut. Soalan saya adakah ucapannya itu dikira taqliq? Dan adakah sah taqliq tersebut kerana ucapannya samar tidak jelas dari segi syarat (tidak sebut perbuatan apa hanya cakap kalau saya buat) dan ucapan talaknya yg terlalu umum dan tergantung sebagai contoh tidak menyebut kita takde apa-apa hubungan tetapi hanya berkata (kita takde pape) seperti kinayah. Dan lagi satu suami ada cakap yang dia tidak tahu apa yang dicakap itu boleh merupakan satu taqliq dan boleh jatuh talak.
Jawapan
Menjawab persoalan puan di atas:
Secara umumnya lafaz taklik atau talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Oleh yang demikian, apabila ada bukti yang sohih suami melanggar taklik tersebut, maka akan jatuhlah talak kepada isterinya. Sekiranya, tidak terbukti maka talak tidak jatuh.
Adapun persoalan berkaitan lafaz suami kepada isteri: "kalau saya buat, kita takde pape", ia adalah merupakan ucapan kinayah (lafaz yang tidak sorih), perkataan tersebut boleh membawa pelbagai maksud yang lain selain talak, mungkin boleh membawa maksud tak ada apa-apa perasaan, atau tak ada apa-apa tindakan yang nak dibuat atau sebagainya. Oleh yang demikian berlaku talak taklik atau tidak adalah bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka berlaku talak taklik. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak taklik tidak berlaku.
Puan boleh mengajukan perkara tersebut ke pihak Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah tempat di mana puan tinggal untuk mendapatkan pandangan serta penjelasan lanjut.
Sekian, terima kasih