Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya ingin bertanya, sekarang terdapat cairan coklat yang keluar dari faraj saya. Adakah dikira sebagai haid walaupun ianya keluar lebih awal 9 hari dari tarikh yang sepatutnya? Bulan lepas, saya period pada 20hb. Bulan ini, cairan coklat tersebut terjadi pada 11hb. Harini sudah termasuk 3 hari cairan coklat tersebut keluar & kuantitinya masih lagi sedikit dan tidak banyak seperti kebiasaan darah haid saya sebelum ini. Untuk maklumat tambahan, saya sudah berkahwin.
Kemusykilan saya adalah:
(1) Adakah cairan coklat ini dikira sebagai darah haid walaupun kuantitiya sedikit?
(2) Adakah saya boleh solat dalam keadaan ini?
Saya berharap pihak tuan dapat memberikan penjelasan lebih lanjut berkenaan permasalahan saya ini.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Kami tidak jelas maksud puan mengenai apakah maksud kuantiti yang sedikit itu ialah:
1. Keluarnya darah itu dengan kuantiti yang sedikit tetapi ia ada berterusan, atau
2. Keluarnya sedikit sedikit kemudian terputus-putus.
Jika yang dimaksudkan ialah ciri yang ke 2, terlebih dahulu puan kena periksa dengan kapas dan seumpamanya di bahagian dalam faraj, di mana apabila dimasukkan kapas apakah masih ada kesan darah atau tidak. Jika dimasukkan kapas dan didapati masih ada kesan darah pada kapas itu maka ia tidak dikira terputus-putus. Dan jika tiada kesan darah pada kapas itu barulah dikira darah itu terputus-putus.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, cairan coklat yang keluar jika terputus-putus, walaupun keluar 9 hari daripada tarikh kebiasaan datang haid, namun ia masih keluar dalam tempoh yang boleh dianggap sebagai darah haid. Ini kerana ia keluar setelah berlalu tempoh minimum suci (15 hari), iaitu di antara 20hb November hingga 10hb Disember selama 21 hari, sebelum ia keluar pada 11hb Disember.
Menjawab soalan yang diajukan jika darah itu terputus-putus:
1. Dalam hal ini puan mesti mencatit tempoh masa ia keluar sebelum berhenti dan setelah datang semula. Contohnya, darah itu keluar satu jam kemudian berhenti. Maka puan catitkan satu jam. Apabila berhenti (yakni tiada kesan pada kapas) puan hendaklah solat jika masuk waktu tanpa perlu mandi wajib kerana ia belum cukup 24 jam. Begitulah yang puan lakukan setiap kali datang darah dan berhenti. Jika beberapa tempoh darah yang puan catat itu setelah dicampurkan semuanya maka ia mencukupi sehari semalam atau 24 jam dan belum melepasi 15 hari 15 malam, maka ternyatalah ia adalah darah haid. Jika setelah cukup 24 jam ia berhenti, maka puan wajib mandi dan solat. Jika selepas itu ia keluar semula tapi belum melepasi 15 hari sejak hari pertama maka ini bererti haid itu masih ada, oleh itu masa antara bersih dan keluar semula itu juga dihitung sebagai masa haid dan solat yg telah dilakukan pada selang masa itu dikira terbatal, namun puan tetap mendapat pahala atas ketaatan melaksanakan perintah kewajipan solat.
2. Jika tempoh masa keluar yang dicampurkan itu tidak mencukupi sehari semalam atau 24 jam dalam tempoh 15 hari 15 malam, maka ia adalah darah istihadhah.
3. Dilarang daripada mendirikan solat apabila cairan berwarna coklat itu keluar kerana ia masih berkemungkinan sebagai haid. Puan perlu menunggu dan memastikan tempoh darah yang keluar sama ada memenuhi syarat darah haid atau tidak. Jika tidak memenuhi syarat darah haid selepas berlalu 15 hari, maka ia dianggap sebagai darah istihadhah dan jika ada solat yang ditinggalkan semasa tempoh itu maka ia hendaklah diqada'.
Sekian, terima kasih.