Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalam, saya nak tanya beberapa soalan
1. saya penjual baju bundle apakah hukum saya menjual baju mempunyai gambar tengkorak dan bertindik di hidung.saya rasa ianya sekadar fasion zaman kini . soalannya adakah haram jika saya menjualnya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, pada asasnya menjual baju bundle tidaklah menjadi kesalahan dan ianya adalah diharuskan selagimana segala hukum hakam berkaitan jual beli dipatuhi. Namun pakaian yang dijual sebaiknya perlulah dipastikan tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam, jika diperhalusi gambar tengkorak dan bertindik dihidung bukanlah sebahagian dari nilai-nilai Islam bahkan ia sering dikaitakan dengan nilai-nilai negatif yang tidak sesuai dengan apa yang diajarkan oleh syariat. Bantulah pelanggan untuk mencari pakaian yang menepati nilai Islam seperti pakaian yang sopan, yang tidak terlalu menonjol dan pakaian yang sederhana. Menjual pakaian yang mempunyai nilai-nilai negatif dibimbangi akan menyebabkan peniaga akan dikira bersubahat di dalam perkara tersebut. Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Sekiranya gambar tengkorak dan bertindik dihidung yang dijual membawa mesej agama lain, atau mempromosikan kesesatan dan budaya-budaya songsang maka menjualnya boleh dikategorikan sebagai haram, namun jika tidak pendapatan yang diterima adalah halal tetapi dibimbangi tetap dikira sebagai bersubahat mempromosikan nilai bukan Islam. Adalah lebih baik mencari alternatif dengan menjual pakaian yang lebih neutral dan tidak menimbulkan rasa tidak tenang di dalam hati bagi memastikan keberkatan dalam mencari rezeki.
Sekian, terima kasih.