Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan.
Disini saya ingin mengemukakan beberapa soalan. Diharap soalan saya ini mendapat jawapan yang tepat dan jelas dari pihak tuan/puan.
Saya baru sahaja kematian suami pada bulan November 2024 dan saya masih dalam iddah 4 bulan 10 hari. Soalan saya ialah,
1. Selepas hari ketiga suami saya meninggal saya ada mengikut ibu, adik serta anak saya saya ke pasar dan pasaraya utk membeli keperluan kenduri arwah suami saya kerana mereka tidak tahu berapa banyak dan apa keperluan lain yang diperlukan utk kenduri arwah suami saya. Jadi mereka mengajak saya kerana tidak tahu apa yg saya inginkan dan berapa jumlah barangan yang ingin dibeli. Saya ada mengatakan untuk menulis barangan tapi mereka kata tak berani dan takut silap. Utk makluman pihak tuan/puan arwah suami saya dikebumikan di kampung saya di negeri lain jauh dari tempat tinggal kami. Adakah saya berdosa dan melanggar peraturan iddah saya?
2. Dari hari suami meninggal, saya berada di rumah ibu saya dikampung selama 13 hari kerana dalam kesedihan dan kemudian selepas itu baru saya balik ke rumah kami. Adakah saya berdosa dalam iddah saya kerana berada dirumah ibu saya selama 13 hari itu?
3. Apakah saya boleh keluar untuk menguruskan urusan suami saya seperti sijil kematian, khairat kematian, kwsp, socso, pertukaran str sebagai ibu tunggal, simpanan dibank dan lain2 lagi.
4. Adakah saya perlu beriddah di rumah kami sehingga habis iddah saya dan tidak boleh pergi kerumah ibu saya dikampung selagi iddah saya tidak habis.
Sekian soalan dari saya.
Terima kasih.
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa seorang wanita yang kematian suami wajib menjalani iddah selama tempoh 4 bulan 10 hari dengan mengikuti garis panduan beriddah antaranya tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Dalam erti kata lain, seorang wanita yang beriddah kerana kematian suami, wajib menetap di rumah perkahwinan dan tidak boleh meninggalkannya melainkan sekiranya terdapat keperluan dan darurat yang tidak dapat dielakkan. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Sebaiknya ahli keluarga membantu untuk membeli barangan kenduri arwah tersebut kerana wanita yang beriddah tidak dibenarkan keluar rumah tanpa tujuan yang mendesak.
2. Wanita yang dalam iddah kematian suami hendaklah duduk menetap di satu tempat tanpa berpindah kerana tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Tidak dinafikan emosi pada ketika itu tidak stabil kerana bersedih, namun mana-mana ahli keluarga bolehlah tinggal bersama untuk tujuan menemani.
3. Sekiranya tiada ahli keluarga yang amanah boleh diwakilkan untuk proses-proses tersebut dan hanya isteri sahaja yang perlu hadir bagi pengesahan dokumen tertentu, maka dalam situasi ini ia dikira terdesak dan dibenarkan.
4. Sebaiknya iddah dijalani di rumah sendiri tanpa perlu berpindah sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.