Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Saya bekerja sebagai eksekutif di syarikat pembinaan..pada masa itu saya telah meminta sedikit imbuhan dari kontraktor yang melakukan tuntuan kerja siap keatas syarikat yang saya bekerja..adakah duit yang saya terima tersebut dikira rasuah dan haram ataupun sebagau saguhati kerana kontraktor tersebut memang berhasrat untuk memberi saya sedikit imbuhan kerana telah membantu menyelesaikan dokumen tuntutan projek beliau dengan kami.. mohon pencerahan..
Jawapan
Berdasarkan definisi rasuah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu:
“Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun”.
Merujuk kepada solan yang diajukan, menerima sebarang pemberian sama ada berbentuk hadiah barangan, wang ringgit dan sebagainya oleh seorang pegawai atau pekerja ke atas kerja atau tugasan yang menjadi tanggungjawab pegawai boleh dianggap sebagai suatu kesalahan dan dihukumkan sebagai rasuah. Sebarang pemberian daripada pihak ketiga perlu dimaklumkan dan mendapat kebenaran daripada pihak majikan atau Ketua Jabatan.
Daripada Ibnu Umar R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam api neraka.
(Riwayat al-Thabarani)
Sekian, terima kasih.