BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

As Salam

Saya mempunyai 3 orang anak.

Saya dan bekas suami telah berpisah semasa anak sulong berumur 12 tahun dan bercerai ketika anak sulong berumur 14 tahun. Dari mula berkahwin saya yg menyediakan perbelanjaan rumah, persekolah anak2, tuition. Bekas suami hanya membayar bil elektric, air dan astro. Cuma ada sekali sekala dia berbelanja untuk anak2.

Kami telah berpisah semasa anak sulong berumur 12 tahun dan bercerai ketika anak sulong berumur 14 tahun.

Selepas bercerai, saya menanggung sepenuh nya segala2 untuk pembesaran dan persekolah anak2 sehingga tamat belajar di universiti.

Persolannya, bekas suami sedang sakit dan adik beradik bekas suami mendesak untuk anak2 menjaga bekas suami, sedang semasa dia sihat, bekas suami tidak menghiraukan anak2.

Adakah anak2 masih bertanggung jawab untuk menjaga bapa beliau sedang kan semasa bapa mereka sihat pun tidak mengindahkan anak2. Untuk pengetahuan, anak2 saya sekarang berumur 27, 25 dan 18.

As salam.

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan bahawa hubungan seorang anak dengan ibu bapanya kekal dan tidak akan terpisah walaupun setelah berlaku perceraian kerana hubungan mereka adalah hubungan nasab atau pertalian darah yang tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, seorang anak adalah tertakluk kepada hukum-hakam tanggungjawab seorang anak kepada bapanya seperti orang lain iaitu mentaati bapanya selagi mana dia tidak menyuruh berbuat perkara maksiat, serta berbuat baik kepada mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Hah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Justeru, anak-anak perlu melaksanakan tanggungjawab kepada bapa walaupun tidak pernah dihiraukan sebelum ini, walaupun kisah silam menjadikan anak berasa berat untuk berbakti, namun ketahuilah bahawa semakin besar cabaran dalam berbakti itu, semakin bertambah ganjaran dari Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 54

message user image