Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Saya telah mengambil seorang anak angkat perempuan. Bolehkah saya mahramkan dia dengan menjadikan anak kepada kakak kandung saya (anak saudara) sebagai ibu susuannya?
Terima kasih
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu, hukum pengambilan anak angkat adalah diharuskan, mengambil kira keperluan jiwa pasangan yang tidak direzekikan anak untuk mendapat peluang membesarkan anak. Sehubungan itu, sekiraya pasangan suami dan isteri ingin mengambil anak angkat untuk dijadikan anak susuan, maka isteri bolehlah merujuk kepada doktor kaedah meransang susu ibu bagi membolehkannya menyusukan anak tersebut.
Namun, sekiranya usaha yang dibuat tidak berhasil, maka dibenarkan untuk adik-beradik iaitu kakak kandung si suami untuk menyusukan anak tersebut dan status anak tersebut adalah menjadi anak susuan kepada kakak kandung serta anak saudara susuan kepada si suami. Manakala si isteri (pasangan kepada suami itu), tidak menjadi mahram kepada anak tersebut. Oleh itu, jika anak angkat yang diambil adalah perempuan, maka tidak menjadi isu aurat dalam keluarga tersebut.
Jika telah menjadi mahram, maka terpakailah hukum hakam mahram seperti aurat, diharuskan tinggal bersendirian dengannya, diharamkan berkahwin dengannya dan seumpamanya. Hal ini seperti mana hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Saidina Hamzah RA:
Maksudnya: Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.
Walau bagaimanapun, syarat-syarat penyusuan perlulah dipatuhi:
1) Anak yang menyusu itu belum mencapai usia dua tahun. Jika usianya melebihi dua tahun, penyusuan itu tidak menjadikannya mahram dan tidak menjadikannya ahli keluarga.
2) Kanak-kanak itu disusu kenyang sebanyak lima kali yang berasingan. Sesuatu penyusuan itu dianggap berasingan atau tidak berdasarkan pandangan umum. Jika anak tersebut berhenti menyusu kerana kenyang, ia dianggap sebagai sekali susu. Tetapi, jika anak itu berhenti menyusu kerana bermain-main seketika dan kemudian menyusu semula atau bertukar payudara, maka ia juga dianggap sekali susu sahaja.