Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum,
saya ingin bertanya, semalam semasa sedang menonton tv bersama suami kami ada bertengkar sedikit pasal vape sbb saya tak suka dia hisap vape. Dan saya berkata kepada suami "kalau abang hisap vape lagi kita berpisah. Janji dengan saya". Dan suami saya sebut "janji". Adalah itu telah terjadinya lafaz takliq?
dan jika suami masih lagi hisap vape adakah jatuh talak kepada saya?
Saya harap pihak tuan dapat menjawab soalan saya ini.
terima kasih
Jawapan
Secara umum talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh atau berlaku talak dengan sesuatu perkara. Seperti ucapan suami kepada isteri: "Jika saya hisap vape, maka kau tercerai". Jika perkara tersebut berlaku, maka talak pun jatuh.
Merujuk kepada ucapan atau perbualan antara puan dan suami: "Kalau abang hisap vape lagi kita berpisah. Janji dengan saya". Lalu suami menjawab: "janji". Ia bukanlah lafaz talak taklik. Sebaliknya ia hanyalah suatu perkhabaran atau janji suami sekiranya suami menghisap vape lagi, mereka akan berpisah atau bercerai. Ini bermakna, sekiranya suami menghisap vape dan mahu menceraikan isterinya, dia perlu melafazkan cerai kepada isteri.
Untuk mendapat kepastian dan maklumat lanjut puan boleh adukan perkara tersebut kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah tempat di mana puan tinggal.
Sekian, terima kasih