Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya baru bertunang. Cincin yang diberikan daripada pihak lelaki sedikit longgar dan saya terpaksa memakaikya dijari tengah. Makcik sya cakap, haram bagi perempuan memakai cincin di jari tengah dan akan mendatangkan musibah pada hubungan kami. Persoalan saya.
1. Betul ke tak boleh bagi seorang perempuan memakai cincin di jadi tengah?
2. Betul ke haram bagi perempuan memakai cincin di jari tengah boleh mendatangkan musibah kepada hubungan kami?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Tiada dalil yang secara jelas mengharamkan seseorang perempuan memakai cincin di jari tengah mahupun pada mana-mana jari. Imam al-Nawawi menyatakan didalam kitabnya:
Maksudnya: Tidak ada perselisihan tentang keharusan memakai cincin di tangan kanan atau kiri dan tidak ada larangan khusus mengenainya. Perkara ini luas (tidak terikat) dan bergantung kepada kebiasaan seseorang. (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, jil. 14, ms. 66).
Perbuatan mengenakan cincin di jari tertentu hanyalah dilihat sebagai perkara adat dan bukan ibadah yang terikat dengan hukum tertentu. Oleh itu, diharuskan bagi perempuan untuk memakai cincin pada mana-mana jari yang disukai dengan syarat pemakaiannya sesuai dengan kehendak agama (bukan tujuan riak atau berlebih-lebihan serta mempamerkannya semata-mata untuk dilihat oleh lelaki ajnabi). Namun, tidaklah juga menjadi satu kesalahan sekiranya berniat untuk meraikan adat selagi mana ia tidak bercanggah dengan akidah dan syarak.
2. Kepercayaan bahawa pemakaian cincin di jari tertentu boleh membawa musibah atau nasib buruk adalah merupakan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam. Kepercayaan seperti ini boleh membawa kepada kepercayaan khurafat yang dilarang di dalam Islam. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu dan tidak ada kesialan dalam bulan Safar. (Riwayat al-Bukhari)
Disarankan juga untuk menyampaikan dan memberi nasihat secara berhikmah kepada individu yang berkemungkinan kurang tahu akan perkara ini.
Sekian, terima kasih.