Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, boleh atau tidak boleh ya, jika terpaksa menggugurkan janin yang berusia 7 minggu disebabkan masalah kesihatan ibu iaitu penyakit Anxiety yang teruk, sesak nafas dan tekanan emosi yang melampau yang menyebabkan tidak mampu untuk meneruskan kandungan tersebut?
Apakah hukumnya?
Mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa hukum menggugurkan kandungan tanpa alasan yang kukuh adalah haram. Ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7 – 8 Mac 1990 memutuskan bahawa, haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan teruk yang membahayakan nyawa ibu. Manakala, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah memutuskan bahawa:
1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana ia dianggap sebagai satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Oleh yang demikian, menggugurkan kandungan tanpa alasan yang kukuh menurut syarak adalah diharamkan.
Walau bagaimanapun, merujuk kepada soalan yang diajukan, seorang ibu perlulah mendapatkan pengesahan daripada doktor pakar terlebih dahulu mengenai status kesihatannya dan implikasi sekiranya meneruskan kandungan. Jika doktor telah mengesahkan bahawa kandungan boleh mendatangkan risiko yang buruk pada kesihatan dan nyawa ibu, maka hukum menggugurkan kandungan tersebut adalah harus. Majoriti ulama menyatakan harus sama ada usia kandungan kurang daripada empat bulan atau lebih jika kehamilan tersebut berpotensi besar untuk mengancam nyawa si ibu.