BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ada insurans hayat konvensional (investment linked with medical card) yang sudah dekat 10 tahun dan mempunya surrender value >RM15K. Saya berniat nak tukar ke takaful hayat + medical card dan surrender pelan yang sedia ada ni. Tapi saya tak boleh nak completely surrender terus sebab ada 2 years waiting period bila sign up pelan baru. Soalan saya seperti berikut:

1. Bolehkah saya tunggu 2 tahun untuk habiskan waiting period pelan takaful baru lepastu baru terminate dan surrender pelan sedia ada. Untuk premium bulanan saya akan gunakan portion savings tersebut untuk cover bayar baki 2 tahun sebelum terminate/surrender.
 

2. Sekiranya sudah usai tempoh 2 year waiting period pelan takaful baru, dan jumlah surrender value masih berbaki pada ketika itu, apakah baki tersebut boleh digunakan untuk urusan seperti bayar baki hutang, bills, dues, etc? Boleh ke baki tersebut disucikan dengan zakat? 
 

Mohon pencerahan dan semoga Allah ampunkan dosa2 membayar pelan insurans haram dan permudahkan urusan saya. Terima kasih! 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, insurans merupakan perlindungan kewangan yang tidak patuh Syariah sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 3/ 2011 yang menyatakan bahawa insurans konvensional adalah satu muamalat yang diharamkan oleh Islam kerana amat bercanggah dengan prinsip Islam. Oleh yang demikian, pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh peserta insurans adalah dikira sebagai harta tidak patuh Syariah. Jumlah bayaran pokok pembeli polisi insurans sahaja boleh diambil. Manakala pampasan tersebut wajib dilupuskan untuk tujuan harta disucikan dan diserahkan kepada pihak baitulmal atau didermakan untuk tujuan kebajikan kepada golongan fakir dan miskin. 

Merujuk persoalan yang diajukan, niat hendak menamatkan polisi insurans merupakan suatu tindakan yang terpuji dan tidak perlu ditangguh lagi sebagai asas untuk tidak terlibat lagi dengan muamalat yang tidak patuh Syariah.  Manakala soalan kedua, pampasan insurans tersebut perlu diserahkan kepada pihak baitulmal dan tidak boleh digunakan untuk membayar hutang, bil dan lain-lain ini kerana harta yang tidak patuh syariah tidak boleh disucikan dengan zakat kerana zakat adalah penyucian harta yang diperolehi secara halal.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 54

message user image