Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya adalah penjamin kepada pelajar yang mendapat tajaan MARA bagi melanjutkan pelajaran diluar negara. Malangnya pelajar tersebut gagal menamatkan pengajian dan gagal juga membayar pinjaman MARA kerana pendaoatan yang kecil. Saya akur yang saya sepatutnya membayar balik p8njaman MARA tersebut yang berjumlah RM356,000.
Saya mempunyai simoanan SSP BSN berjumlah RM200,000. Dan saya faham saya perlu membayar zakat apabila cukup setahun simpanan saya.
Soalan saya, bolehkah saya gunakan duit untuk membayar zakat simpanan tersebut untuk membayar nutang pinjaman MARA tersebut?
Harap mendapat jawapan yang sewajarnya dari pihak tuan.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, tuan mempunyai wang simpanan yang perlu dizakatkan dan dalam masa yang sama mempunyai hutang yang perlu dilunaskan. Apabila berlaku pertembungan antara bayaran zakat (yang cukup syarat wajib mengeluarkan zakat) dan hutang (yang sudah sampai tempohnya untuk membayar) serta seseorang tersebut tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menunaikan kedua-duanya sekali, hendaklah membayar hutang terlebih dahulu. Jika masih berbaki hartanya dan cukup syarat untuk mengeluarkan zakat, maka hendaklah ditunaikan pembayaran zakat tersebut. Perkara ini berdasarkan kepada kenyataan yang dijelaskan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj ‘ala Syarh al-Minhaj seperti berikut:
Maksudnya: Jika berhimpun ke atas orang yang masih hidup antara hutang dan zakat sedang seseorang itu dalam keadaan sempit hartanya (kewangan yang terhad), jika ia terhalang daripada menggunakan harta disebabkan hutang (mahjur ‘alaih), maka didahulukan hak manusia (hutang). Namun jika tidak terhalang (disebabkan hutang) maka didahulukan zakat ke atasnya. (3/133)
Adapun begitu, sekiranya hutang tersebut adalah hutang jangka masa panjang atau boleh ditangguhkan, maka hutang tersebut tidak mengurangi kewajipan zakat sekalipun. Tambahan, jika hartanya mencukupi, maka hendaklah melangsaikan kedua-duanya sekaligus kerana kedua-dua perkara tersebut merupakan tuntutan wajib.
Tuan juga boleh merujuk bahagian pinjaman MARA jika bayaran hutang tersebut boleh dibuat permohonan penangguhan atau penstrukturan semula bayaran hutang secara berkala (masa panjang).
Sekian. Terima kasih.