Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
(1) Adakah boleh seorang lelaki membawa tunang perempuan ke rumah nenek lelaki tersebut untuk bermalam(atas alasan untuk berkenalan dengan keluarga mertua). Pada masa yang sama, lelaki tinggal berasingan iaitu di rumah ibu bapa sendiri dalam 600m jarak (nenek tinggal seorang dan mempunyai rumah sendiri). (2) Isu kedua adalah rumah yang didiami nenek adalah milik makcik kepada lelaki tersebut yang tinggal diluar kawasan. Makcik lelaki melarang sekeras kerasnya untuk tunang perempuan bermalam kerana tidak manis dan tiada mahram. Adakah tindakan makcik tersebut wajar? Apakah solusibyang ideal dalam situasi ini. Terima kasih
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Dalam Islam, hubungan antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin adalah tertakluk kepada batasan syarak yang perlu dipelihara. Begitu juga pertunangan, kerana statusnya masih belum dianggap sebagai mahram, malah perlu menjaga interaksi di antara mereka menurut batas syarak. Namun dalam hal ini, keputusan untuk menempatkan tempat tinggal bagi tunangan wanita di rumah nenek adalah diharuskan kerana tidak berlaku percampuran antara lelaki dan wanita secara terbuka serta bebas daripada sebarang bentuk fitnah.
Meskipun begitu, memandangkan rumah nenek tersebut menjadi hak milik bagi makcik si lelaki maka tidak dibenarkan menempatkan pasangan tunang di kediaman tersebut sekiranya tidak diizinkan. Oleh itu, langkah yang terbaik adalah disarankan agar tuan mencari kediaman seperti homestay yang berdekatan sebagai tempat kediamannya.
Sekian, Terima Kasih