Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum.. Selama ini saya telah membersihkan najis air kencing, muntah dan lain-lain secara salah dangan hanya menggunakan mop tanpa mengalirkan air mutlak kepadanya dan juga membersihkan tilam yang terkena air kencing dengan menggunakan air sabun sahaja.. Jadi bagaimana sekarang, adakah seluruh rumah dan tilam yang saya tidur ini masih dikira sebagai bernajis? Dan apa yang perlu saya buat untuk menyucikanya sebab saya dan tak ingat di kawasan mana yang bernajis.
Jawapan
Tindakan membersihkan najis air kencing dan muntah dengan hanya menggunakan mop dan air sabun sahaja adalah dianggap tidak menyucikan najis dan ianya tidak sah. Cara yang betul bagi menyucikan tempat yang terkena najis ialah dengan membuang terlebih dahulu ain najis (air kencing dan muntah) tersebut dengan menggunakan tisu atau kain bersih sehingga hilang najis itu. Kemudian tuang air diatas keatas kawasan yang terkena najis itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tersebut lalu dikeringkan kawasan tersebut dengan menggunakan kain atau mop bersih yang lain sehingga tiada kesan bau dan warna. Setelah proses itu dilakukan, maka kawasan yang terkena najis telah bersih dan suci daripada najis. Namun begitu, merujuk kepada persoalan yang diajukan, kejadian tersebut telahpun berlaku, maka ia adalah dimaafkan. Namun begitu, adalah sebaiknya jika berusaha membersihkan juga tilam dengan kawasan rumah yang pernah terkena najis air kencing, muntah dan sebagainya dengan lebih kerap untuk tidak menimbulkan perasaan was-was dalam hati. Disarankan agar lebih berhati-hati kerana perkara berkaitan najis akan memberi kesan yang besar dalam pelaksanaan ibadah.
Sekian, terima kasih.