BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, 

saya ada soalan berkenaan air mutanajis. Saya baru tahu bahawa jika pakaian terkena/ada najis tidak sah dibasuh hanya dengan menggunakan mesin basuh sahaja, harus dibasuh asing terlebih dahulu.  Persoalan saya bagaimana hukum baju yang dibasuh sekali pada waktu itu? Saya pun dah lupa baju mana yg bercampur. Selain itu, Saya juga jadi ragu kerana saya tidak bilas/cucur mesin tersebut dengan air mutlak selepas membasuh baju yg terkena najis itu. Saya terus basuh baju lain menggunakan mesin yang sama. Adakah boleh dibawa solat? 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan berkaitan membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.

Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh automatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;

a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.

b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke dalam pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya. 

c) Terbukti berlakunya bilangan (adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.

d) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.

e) Dari segi pengesanan zat najis dan jenis kesannya, didapati;

  • i) Kesan najis iaitu bau, warna dan rasa telah hilang sepenuhnya.

  • ii) Kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah.

  • Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah.

  • Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun (contoh) seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas

Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata. Sehubungan itu, baju yang dibasuh bersekali dengan pakaian terkena najis turut bersih dan suci dan boleh dibawa solat.

Walau bagaimanapun, adalah disarankan agar pakaian yang terkena najis dihilangkan atau dibersihkan najisnya terlebih dahulu dan dibasuh dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis. Seterusnya boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh bersama-sama dengan pakaian yang lain. Untuk maklumat lebih lanjut pihak saudara boleh merujuk  garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut: 

https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 43

message user image