Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,saya telah melalui kawasan yang ada beberapa ekor anjing.Apabila saya tiba di bilik saya dapati ada tompokan hitam di kasut dan terkena kulit kaki.Tompokan tersebut kelihatan seperti najis anjing tersebut tetapi saya tidak dapat pastikannya adakah najis anjing atau bukan.Adakah saya perlu lakukan sertu ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, jalan yang dilalui anjing tidak boleh dijadikan asbab untuk dilaksanakan sertu melainkan dengan jelas dan yakin dapat dipastikan bahawa najis tersebut adalah daripada anjing. Jika tidak dapat dipastikan, memadai dengan hanya membuangnya dan membasuh seperti biasa tanpa sertu. Kaedah fiqh menyebutkan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan itu tidak dapat dihapuskan dengan perasaan syak (tidak pasti).
Maksudnya: Hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci.
Adapun najis itu adalah perkara yang mendatang dan ia perlu dibuktikan dengan yakin dan bukan sekadar syak atau ragu-ragu.
Untuk menguatkan lagi perkara tersebut, kaedah fiqh ada menyebut:
Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu adalah kekal pada kedudukan asalnya.
Sehubungan itu, jika sekadar andaian atau sangkaan, maka ia tidak boleh menjadikan sesuatu itu bernajis berdasarkan kepada kaedah fiqh:
Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat dihapuskan/ dihilangkan dengan keraguan.
Situasi di mana tuan 'merasakan' bahawa telah terpijak najis anjing itu juga berbalik kepada kaedah asal tadi. Jika tidak yakin bahawa itu adalah najis, anggap saja kasut tuan adalah suci. Yakin berlaku apabila tuan sendiri melihat kaki tuan terpijak najis, atau terdapat bau najis yang kuat daripada kasut tersebut. Selain daripada itu, dianggap tidak pasti dan dihukumkan suci kerana berbalik pada asal. Mudah-mudahan konsep ini dapat membantu tuan menghilangkan was-was tadi.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.