Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Yg. Bhg. Sahibul Samahah Dato Dr Haji Anhar Bin Haji Opir.
Saya merupakan pekerja GLC yang baru sahaja bertukar tempat kerja dari Pulau Pinang ke Bangi Selangor. Untuk pengetahuan, pagi Isnin setiap minggu saya akan bertolak dari rumah di Pulau Pinang ke Bangi, Selangor untuk bertugas disana sehingga petang Jumaat saya akan pulang semula ke Pulau Pinang untuk bersama keluarga. Untuk pengetahuan juga, saya menyewa rumah di Bangi tetapi tinggal secara berseorangan.
Soalan:
1. Mengikut hukum syarak, adakah saya dibenarkan untuk menunaikan solat secara jamak qasar sepanjang tempoh bertugas disana memandangkan jarak perjalanan telah melebihi 2 marhalah?
2. Adakah dibenarkan untuk saya solat tamam bersama imam dimasjid seterusnya melakukan solat jamak qasar selepas solat fardhu tersebut. Contoh; solat secara berjemaah pada waktu maghrib dan melakukan solat jamak qasar isya selepas selesai solat maghrib tersebut?
Mohon penjelasan Yg. Bhg. Dato Mufti diatas permasalahan ibadah tersebut.
Jazakallahu khairan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Soalan 1: Syarat bagi seseorang dibolehkan jamak dan qasar adalah kerana musafir dan perjalanannya mesti melebihi 2 marhalah kira-kira antara 81 km atau bersamaan 56 batu. Selain itu, bagi orang yang musafir tidak boleh berniat untuk menetap pada satu tempat itu melebihi 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak pulang kerana melebihi 3 hari dikira sebagai orang yang bermukim. Justeru, mengikut situasi yang tuan alami, tuan dikira sebagai seorang yang musafir oleh kerana menetap suatu tempat itu tidak melebihi 3 hari dan dibolehkan tuan untuk melakukan solat secara jamak dan qasar.
Soalan 2: Adalah dibolehkan untuk tuan melakukan solat maghrib secara berjemaah secara sempurna bersama imam kemudian menjamak dan menqasarkan solat isyak setelah selesai solat maghrib secara berjemaah.
Sekian, Terima Kasih