Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualakum ustaz,
Saya solat duduk menggunakan kerusi setelah mendapat stroke.Pada awal saya awal nya saya duduk dikerusi bermula dari takbir ratul ihram sampai salam.walau pun mampu berdiri .kemudian saya dapat tahu yg saya sepatutnye hendak lah berdiri semasa takbiir ratul ihram.soalan saya bagaimana solat tersebut ade yg kata tak sah, adekah saya perlu qada solat -solat tésebut ,mohon penjelasan ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umunya, seorang yang ingin mendirikan solat fardu hendaklah memenuhi semua rukun dan syarat sah solat. Dalam erti kata lain, dia hendaklah mendirikan solat dalam keadaan berdiri jika dia berkemampuan untuk melakukannya kerana berdiri adalah salah satu rukun dalam solat. Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran bagi melakukannya seperti sakit atau seumpamanya, maka dia dibolehkan untuk mendirikan solat fardu dalam keadaan duduk. Oleh itu, sekiranya orang yang menunaikan solat itu hanya mampu berdiri seketika sahaja di dalam solat, dan tidak mampu berdiri pada ketika yang lain, maka dia hendaklah berdiri pada ketika yang dia mampu itu dan duduk pada ketika yang sudah tidak berkemampuan. Jika seseorang itu tidak berdiri lalu menunaikan solat dalam keadaan duduk di atas kerusi (padahal dia mampu berdiri), maka solat itu dikira batal dan tidak sah. Hal ini adalah disebabkan mereka telah meninggalkan kewajipan berdiri, sedangkan mereka mampu melakukannya.
Kesalahan atau kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan tidak membatalkan solat. Solat yang terdahulu tidak perlu diqada' dan begitu juga solat orang lain yang pernah menjadi makmum tuan. Tuan perlu bertaubat atas kesalahan tersebut dan berazam untuk sentiasa mempelajari ilmu agama dengan teliti. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 17;
إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya: "Sesungguhnya taubat yang diterima oleh Allah adalah bagi mereka yang melakukan kesalahan dengan sebab kejahilan kemudian dia segera bertaubat maka Allah menerima taubat mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Maka, setelah mengetahui kebenaran hukum ini, dinasihatkan bagi masa akan datang agar tuan melaksanakan solat dalam keadaan duduk mengikut cara dan panduan yang telah ditetapkan oleh para ulama iaitu hendaklah berdiri dalam rukun-rukun solat sekiranya berkemampuan.
Sekian, Terima Kasih