Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Pertanyaan saya , apakah hukum memakan daging haiwan yang digunakan dalam ritual agama bukan islam tetapi disembelih oleh orang islam?
Jawapan
Hukum makan daging haiwan yang disembelih secara syarak lalu dijadikan bahan ritual agama lain adalah diharuskan. Hal ini kerana hukum asal daging itu adalah halal. Keadaannya yang menjadi ritual agama lain tidak mengeluarkannya daripada hukum asalnya iaitu halal selagi mana ia tidak bernajis atau memudaratkan atau ada faktor lain yang menjadikannya haram.
Sekalipun begitu, kita hendaklah ingat sebagai seorang Muslim, kita juga diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama.
Sekian, terima kasih.