BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt 

Saya sorang balu yang kematian suami pada Bulan Ogos yang lalu. insha'Allah saya akan selesai tempoh iddah 20 Disember nanti. Bersama arwah suami kami mempunyai sorang anak perempuan berusia 6 tahun. Anak yang sangat manja dan amat rapat dengan arwah ayahnya. Sepanjang tempoh iddah, saya tidak keluar rumah selain yang disyaratkan dlm Islam seperti keluar bekerja, membeli barang keperluan dan tujuan perubatan. 

Untuk makluman, pada 14 Dis ini sekolah anak saya akan mengadakan Hari Graduasi sebelum dia memasuki darjah 1. Allah izin dia akan memasuki beberapa acara persembahan dan dia amat berharap kehadiran umminya untuk melihatnya. Saya ada maklumkan saya tidak boleh hadir utk melihatnya membuat persembahan tapi saya janji akan menghantarnya, terus dia beremosi dan tidak dapat menerima alasan tersebut. Sebelum ini ketika Hari sukan sekolahnya pun saya tidak pergi hanya menghantarnya sehingga ke kaunter pendaftaran selepas puas memujuknya.

Adakah saya boleh pergi ke Majlis Graduasi tersebut  untuk mengelakkan gangguan emosi anak saya terjejas kerana selepas kematian suami anak menjadi sangat sensitive dan perlukan perhatian.

Mohon pencerahan.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Wanita kematian suami dibolehkan keluar rumah jika ada keperluan dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan oleh Islam. Antara keperluan penting yang membolehkan wanita yang beriddah kerana kematian suami keluar rumah adalah untuk mendapatkan rawatan, mendapatkan barangan keperluan asas atau keluar sekiranya terdapat ancaman terhadap nyawa atau harta. Hal ini juga termasuk kebenaran keluar bekerja kerana selepas kematian suami terdapat sebahagian wanita hilang tempat pergantungan hidup dan sebahagian wanita yang lain pula perlu keluar untuk bekerja dalam tempoh iddah bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja. Maka, wajar dalam keadaan memerlukan ini wanita yang beriddah kerana kematian suami  keluar bekerja  atau berniaga untuk meneruskan kehidupan.

Adapun menghadiri majlis graduasi anak bukanlah suatu keadaan darurat yang membenarkan seseorang balu untuk keluar rumah. Maka dalam hal ini, puan perlu memberikan kefahaman yang jelas kepada anak berkenaan hukum hakam agama khususnya berkaitan iddah ini agar mereka dapat memahaminya secara beransur. Dalam masa yang sama dicadangkan juga agar puan mencari wakil dalam kalangan ahli keluarga yang berkesempatan untuk menghadiri majlis graduasi ini sebagai menggantikan keberadaan puan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 46

message user image