BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalam, saya ada beberapa soalan berkaitan dosa mengumpat dan mendengar umpatan.

 

1. Adakah orang yang mendengar umpatan perlu meminta maaf kepada orang yang telah diumpat setelah menyesali perbuatannya?

2. Adakah dosa orang yang diumpat akan diberi kepada orang yang mendengar umpatan walaupun tidak mengumpat?

3. Adakah pahala orang yang mendengar umpatan akan diberi kepada orang yang diumpat?

 

Mohon pencerahan dan terima kasih atas bantuan pihak tuan. Semoga pihak tuan sentiasa dirahmati allah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada rangkuman soalan, mengumpat atau ghibah merupakan perbuatan menceritakan atau menyebut perkara yang tidak disukai oleh orang yang diceritakan. Ia boleh diertikan sebagai perbuatan memburuk-burukkan orang lain tanpa pengetahuannya. 

  1. Dalam isu sama ada perlu atau tidak meminta maaf kepada orang yang diumpati, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar ada menerangkan perselisihan ulama tentang perkara ini (1) sebahagian ulama mengatakan perlu seseorang itu menjelaskan perkara yang diumpati atau mendengar umpatan tersebut kepada orang yang diumpati; (2) sebahagian ulama pula mengatakan seseorang tidak perlu menjelaskan perkara yang diumpati atau apa yang didengari jika didapati memberi mudarat lebih besar jika menerangkan kepada orang yang diumpati. Cukup sekadar memohon maaf atas sebarang kesilapan dan menyebut kebaikannya. 

  2. Dosa orang yang diumpat tidak akan diberikan kepada orang yang mendengar umpatan. Adapun begitu, mendengar orang lain mengumpat boleh membawa kepada dosa jika kita redha dengan umpatan tersebut serta tidak menegur atau menasihati orang tersebut. Hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 ‌                             مَنْ ‌رَأَى ‌مِنْكُمْ ‌مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ. فَإِنْ لم يستطع فبلسانه ومن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Maksudnya: Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya iaitu kemampuannya. Jika tidak mampu cegahlah dengan lisan. Jika tidak mampu cegahlah dengan hati dan ini adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim) 

           Apabila kita mendengar orang mengumpat, adalah sebaiknya kita menasihati orang yang mengumpat supaya meninggalkan perbuatan tersebut. Perkara ini merupakan perbuatan yang baik iaitu mencegah perbuatan mungkar inshaAllah akan ada ganjaran pahala daripada-Nya. 

       3. Pahala tidak akan dipindahkan kepada orang yang diumpat kerana pahala merupakan perbuatan atau urusan individu masing-masing. Adalah lebih baik orang yang mendengar umpatan perlu berusaha untuk menegur perbuatan tersebut demi menutup keaiban orang lain atau beredar dari situ. Berdoalah memohon keampunan atas kesalahan diri sendiri serta berdoa untuk orang yang diumpat semoga diberikan kebaikan buatnya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 60

message user image