Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai hukum dalam situasi hartanah. Katakan seorang klien sudah mengambil pinjaman riba (konvensional) untuk membeli rumah, tetapi dia belum menggunakan pinjaman tersebut. Kemudian, klien itu mencari ejen hartanah untuk membantu membelikan rumah, dengan menggunakan pinjaman riba yang telah diambil tadi. Ejen hartanah tersebut mengetahui bahawa klien menggunakan pinjaman riba, tetapi meneruskan proses jual beli rumah dan akhirnya menerima komisen setelah transaksi selesai.
Adakah ejen hartanah ini terlibat dalam dosa riba, walaupun dia tidak terlibat dalam pengambilan pinjaman? Jika ejen tahu bahawa pinjaman riba digunakan, adakah ini dianggap sebagai menolong dalam perkara haram, walaupun dia tidak yang memulakan pinjaman tersebut? Saya ingin mendapatkan pandangan hukum mengenai situasi ini, sama seperti contoh seorang peniaga yang nampak orang lain menjual benda haram (contohnya, makanan tidak halal) kepada orang Islam, tetapi dia tidak terlibat dalam transaksi tersebut. Mohon penjelasan daripada pihak tuan.
Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada situasi yang dijelaskan, klien yang mengambil pinjaman riba (konvensional) untuk urusan pembelian rumah merupakan individu yang terlibat dalam perbuatan riba yang diharamkan menurut syarak. Manakala ejen hartanah juga turut berdosa dan haram memakan hasil komisyen tersebut jika beliau terlibat secara langsung dalam urusan pinjaman konvensional seperti membantu proses menulis dokumen atau apa-apa urusan berkaitan pinjaman konvensional.
Adapun jika ejen hartanah tersebut hanya menulis dokumen berkaitan jual beli rumah yang turut maklum (dinyatakan) jenis pinjaman yang dibuat dan tidak terlibat sama sekali dalam urusan pinjaman konvensional tersebut, maka beliau tidak menanggung apa-apa dosa dan kesalahan tersebut serta hasil komisyen yang diperolehi adalah halal baginya. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 164:
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya;
Berdasarkan ayat ini Tafsir al-Munir menjelaskan bahawa dosa seseorang hanya ditanggung oleh si pelaku dan tidak ditanggung oleh mana-mana pihak lain yang berurusan dengannya selepas itu. Oleh itu, ejen hartanah tersebut tidak termasuk dalam golongan yang dilaknat kerana tidak terlibat secara langsung dalam urusan mendapatkan pinjaman konvensional (riba).