BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Wajibkah anak yang miskin bagi nafkah kepada ibu bapanya yang juga miskin? Pendapatan anak kadang-kadang tak cukup untuk menyara isteri dan anak-anaknya tapi terpaksa bagi kepada ibu bapanya. Dan apakah hukumnya jika anak bagi nafkah kepada ibu bapanya tetapi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya tidak cukup? Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, wajib hukumnya suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya meskipun ketua keluarga jatuh miskin. Manakala, nafkah kepada ibu bapa hanya wajib sekiranya anak berkemampuan. Para ulama bersepakat bahawa suami wajib mendahulukan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya sebelum ibu bapa berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Selain itu, para ulama menyebut, memberi nafkah kepada ibu bapa adalah tidak wajib atas seorang anak kecuali dalam dua keadaan iaitu:

  • Ibu bapanya miskin dan memerlukan bantuan.
  • Anak tersebut mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya.

Justeru, suami memberi nafkah kepada isteri adalah diutamakan terlebih dahulu sebelum kedua orang tuanya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 41

message user image