BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya perempuan masih bujang. Betul² memerlukan nasihat yang rasional tentang perkahwinan.

Dalam Islam, isteri perlu patuh suami tidak kira kecil atau besar, selagi tidak melanggar syarak. Statement ini terlalu general, saya rasa berat untuk terima, seolah² wanita hilang terus kebebasan selepas berkahwin.

Patuh pada Allah, kerana Dia Tuhan yang Maha Sempurna. Patuh pada Rasulullah kerana dia manusia paling baik di bumi.

Namun patuh pada suami...suami itu manusia yang tak sempurna. Mungkin suruhannya tidak menyalahi syarak, namun bagaimana jika suami tak bagi makan makanan favourite isteri dalam rumah? Atau bagaimana jika isteri nak makan ayam goreng tapi suami tak bagi & disuruh goreng ikan? Atau suami tak suka isteri gelak² ketika menelefon adik beradik atau kawan perempuan? Seolah² isteri kena korbankan personaliti diri & pendamkan perasaan atas dasar patuh pada suami.

1) Apakah dalam Islam ada hadis atau hukum larangan atas suami dari memberikan arahan yang terlalu ketat & tak masuk akal?

2) Adakah segala amalan isteri seperti zakat, puasa, baca AlQuran dikira tidak berguna, hanya kerana dia tidak patuh suami?

Ramai wanita masuk neraka kerana berbuat salah pada suami. Saya rasa sedih...jika benar, lebih baik & selamat jika saya tidak berkahwin. Kerana perkahwinan terlalu banyak pantang larang dan pengorbanan, seolah² tidak ada kebahagiaan langsung. Lebih baik elak dari masuk neraka, daripada ambik risiko jalan mudah ke syurga.

Ada ustaz cakap, carilah calon yang baik & tidak mengongkong, namun ramai lelaki di luar sana yang kuat menjaja kewajipan patuh pada suami, sehingga saya rasa takut untuk berkahwin.

Saya harap ustaz boleh beri nasihat tentang isu ini. Semoga Allah membalas jasa ustaz menjawab pertanyaan saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda :

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Yang maksudnya: Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah. (Riwayat Muslim)

Imam al-Qurthubi dalam kitabnya al Mufhim menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadis di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya.

Dan dalam hadis yang lain daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW :

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya. (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah R.A, Nabi SAW menyebut:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Yang maksudnya: Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah selepas takwanya kepada Allah SWT lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya, jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya. (Riwayat Ibn Majah)

Tiga hadis di atas adalah merupakan sandaran dan gambaran kepada isteri yang solehah dan kaitannya dengan ketaatan kepada suaminya.

Dalam Islam tidak ada secara khusus larangan kepada suami dari memberikan arahan yang terlalu ketat atau tidak masuk akal. Namun ditegaskan dalam sebuah hadis bahawa seseorang itu tidak wajib mentaati sesuatu arahan sekiranya arahan itu menyuruh melakukan perkara-perkara yang mungkar. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya taat itu pada perkara yang makruf (baik). (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, dalam konteks rumahtangga, dapat difahami bahawa adalah menjadi satu kewajipan seorang isteri mentaati suaminya selagimana suaminya itu tidak menyuruh ke arah perkara-perkara yang mungkar atau maksiat ataupun perkara-perkara yang boleh memudaratkan isteri dan anak-anaknya.

Namun begitu, walaupun suami ada bidang kuasa yang besar dari sudut ketaatan isteri terhadap arahannya, ajaran Islam sangat menganjurkan kebijaksanaan serta toleransi suami dalam setiap interaksi dan solusi antara mereka. Kebijaksanaan dan toleransi adalah kombinasi yang terbaik dalam menyempurnakan kehidupan berkeluarga, kerana gabungan lelaki dan wanita inilah yang membentuk sebuah keluarga, dan sikap toleransi antara kedua inilah yang pastinya membantu setiap pihak rasa dihargai dan dihormati.

Adalah menjadi tanggungjawab suami untuk menjaga dan melayan isteri dengan cara yang terbaik, serta memenuhi segala keperluan sama ada zahir, batin dan emosi. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 19:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

Di dalam suatu hadis daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: Sebaik-baik dalam kalangan kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya/isterinya. Dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku/isteriku. (Riwayat al-Tirmizi)

Adalah menjadi tanggungjawab suami untuk mewujudkan rasa kasih sayang dan belas kasihan, kerana itulah matlamat di dalam perkahwinan di dalam Islam. Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 21:

  وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Di samping itu, isteri adalah suatu amanah yang Allah SWT titipkan kepada suami yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 60

message user image