BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang apps yang menghasilkan duit seperti cashzine, givvy dan sebagainya , jika kita tidak tahu hasil pendapatan aplikasi itu dari mana, bolehkah kita terima duit itu adakah halal atau sebaliknya??


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan persoalan yang diajukan, daripada al-Nu’man bin Basyir RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ، وإنَّ بَيْنَ الحَلالِ والحَرامِ مُشتَبِهاتٍ، فمَن ترَكها استَبْرأ لدِينِهِ وعِرضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.  (Riwayat al-Bukhari)

Mengenai aplikasi yang menghasilkan keuntungan seperti Cashzine, Givvy, dan lain-lain, ia bergantung kepada model perniagaan dan cara aplikasi tersebut beroperasi. Secara umum, ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan untuk menentusahkan sama ada pendapatan yang diperoleh adalah halal atau tidak:

  1. Sumber Pendapatan: Aplikasi yang membayar pengguna biasanya mendapatkan keuntungan melalui paparan iklan. Pengguna akan menerima bayaran apabila mereka menonton iklan, berinteraksi dengan iklan, atau menyelesaikan tugasan tertentu. Jika iklan yang dipaparkan adalah halal dan tidak melibatkan unsur-unsur yang haram seperti perjudian, arak, pornografi, atau aktiviti yang becanggah dengan syarak, maka ia dianggap halal.

  2. Syarat dan Terma: Perhalusi terma dan syarat  penggunaan aplikasi tersebut. Pastikan tiada unsur yang merugikan atau bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, seperti meminta pengguna untuk menyertai aktiviti perjudian yang dilarang dalam Islam.

  3. Aktiviti yang Dijalankan: Sesetengah aplikasi meminta pengguna untuk mengklik atau menonton iklan tanpa menetapkan kadar nilai yang sebenar. Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti akan menyebabkan pengguna terlibat dalam kegiatan membazir masa dengan aktiviti yang tidak mendatangkan faedah dan sangat dilarang oleh syarak. 

  4. Pendapatan yang Diperoleh: Pastikan juga pendapatan yang diperoleh melalui aplikasi tersebut tidak melibatkan unsur penipuan atau eksploitasi mana-mana pihak. Jika berlaku, ianya adalah haram. ,

Kesimpulan yang boleh dirumuskan adalah pendapatan yang diperoleh dari aplikasi-aplikasi ini adalah tertakluk kepada sejauhmana keterlibatn unsur-unsur yang terkandung dalam aplikasi ini. Jika  ianya tidak melibatkan aktiviti yang diharamkan. maka ianya halal. Jika sebaliknya, maka ianya haram.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 62

message user image