BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Salam Ustaz

saya ingin menanyakan berkaitan pembiayaan perumahan. Saya ingin membeli satu rumah harganya 330k. Sebahagian daripada harga rumah itu dibiayai oleh bank 275k dengan islamic financial. Walaubagaimana pun 55k baki tidak dapat dibiyai oleh bank tersebut dan pihak pemaju sendiri menawarkan pinjaman untuk membiayai baki amaun tersebut dengan faedak 4% setahun selama 20 tahun. Bagaimana hukumnya keatas pinjaman daripada pemaju tersebut? Saya cuba mencari pembiayaan peribadi islamic financial tetapi kadar keuntugannya lebih tinggi dan sedikit membebankan. Diharapkan ustaz dapat menjawab persoalan saya. Terima kasih Assalamualaikum. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan persoalan yang diajukan, Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersadba:

طَلبُ الحَلالِ وَاجِبٌ على كلِ مُسلِم

Maksudnya: Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim. (Riwayat at-Tabrani)

Dalam Islam sememangnya terdapat perbezaan yang jelas antara pembiayaan Islam dan Konvensional bukan semata-mata kenaan faedah sahaja, paling penting adalah akad pembiayaan yang menjadi pemisah keduanya. Walau apa pun situasinya adalah sekiranya pinjaman daripada pemaju tersebut bukan didasari konsep Islam, maka perbuatan tuan itu adalah haram dan berdosa kerana pinjaman konvensional adalah berlandaskan riba’ dan  ini diharamkan secara jelas sepertimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. 

Allah SWT juga telah memberi peringatan kepada orang yang beriman agar tidak memakan riba sebaliknya mereka diseru agar bertaqwa kepada Allah SWT kerana dengan itu mereka akan terdiri daripada orang-orang yang berjaya.

Al-Mu'tamar AI Islamiy 1.i Majma' al-Buhuth al-Islamiyyah kali kedua, pada bulan Mei tahun 1965 di Kaherah telah membuat keputusan bahawa faedah yang dikenakan dalam semua bentuk pinjaman (hutang) adalah riba. Manakala Majma' al-Fiqh al-Islamiy dalam persidangannya kali kedua di Jeddah pada 22-28 Disember 1985 telah mengeluarkan fatwa bahawa setiap penambahan atau faedah ke atas hutang disebabkan peminjam lewat menjelaskan hutang atau faedah yang ditetapkan pada awal kontrak pinjaman, kedua-duanya adalah riba yang diharamkan oleh hukum syara'.

Dalam Islam, meninggalkan riba adalah lebih utama walaupun ada sedikit kesulitan dalam mendapatkan alternatif. Allah menjanjikan keberkatan kepada mereka yang menjauhi riba. Firman-Nya dalam Al-Baqarah, ayat 276:

يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ

Maksudnya: Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 58

message user image