BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum, sudah 3 bulan saya tidak datang haid namun ini bukanlah perkara baharu kerana terjadi ketika saya masih di sekolah lagi. Pada 21/12/2024 saya ingat saya datang haid selepas 3 bulan, tetapi darah yang keluar amat sedikit (lebih kurang size sebesar benang), hanya sekali pada hari itu dan kemudian 2 hari kemudian ia datang balik. Darah yang keluar pada hari ke-3 sama seperti hari pertama dan pada hari ke 4 - 5 begitu ia sudah tidak ada (sekiranya saya tidak salah), kemudian bermula pada hari ke 7-14 darah yang keluar hanya sedikit, tetapi datang dalam 2/3 kali sehari. Warna darahnya merah muda tapi kadang² hitam sedikit, saya kira selama 15 hari (hari ke-15 04/01/2025), darah yang keluar tidak sampai 24jam kerana keluar sekali 2kali saja sehari (kalau keluar waktu pagi, kemudian nak dekat tengah malam baru keluar pula darah). Namun pada hari ke-16 tidak silap, darah mula keluar dengan banyak dan pada hari ke 19-20, darah seperti darah haid. Saya selalu tukar pad baharu ketika ingin solat. Perkara ini selalu terjadi di waktu sekolah tapi ketika itu haid saya datang selama 15hari tanpa putus, kemudian istihadah dalam 4 hari. Situasi pada bulan 12 2024 ini pertama kali saya hadapi.

Soalan 1) apakah niat wuduk yang harus saya baca kerana saya baru tahu niat wuduk untuk perempuan istihadah.

2) Adakah sepanjang tempoh 15 hari itu dikira haid dan perlukah mandi wajib?

3) saya pernah dengar ceramah yang kalau pad itu tidak ada darah maka ia masih boleh dipakai ketika ambik wuduk solat fardu seterusnya

4) bolehkah saya melewatkan solat zohor (solat beberapa minit sebelum waktu asar) untuk terus solat asar menggunakan satu wuduk sahaja? bagaimana sekiranya hari itu tiada air?

5) bolehkah saya mengganti puasa wajib

Saya harap pihak tuan puan boleh menyelesaikan masalah saya kerana risau solat saya tidak sah


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Dalam menjelaskan isu ini, pengarang kitab Mughni al-Muhtaj, menjelaskan bahawa tempoh paling minimum bagi haid ialah sehari semalam iaitu keluar darah sehingga cukup 24 jam. Yang dimaksudkan dengan gambaran bersambung 24 jam dijelaskan dalam dua keadaan, iaitu:-

  1. Jika darah keluar berterusan tanpa henti iaitu pengiraan sehari semalam bermula ketika darah keluar hingga cukup 24 jam.

  2. Jika darah keluar secara terputus-putus iaitu diselangi dengan naqo’ (tiada kesan darah walaupun telah dimasukkan kapas. Maka kaedah pengiraan adalah dengan menggabungkan keseluruhan jam keluar darah sehingga hari ke 15. 

Berdasarkan kepada penjelasan puan, darah yang keluar hanya sedikit seperti urat benang bagi tempoh 21/12/2024 hingga 4/1/2025 . Apabila dijumlahkan jam keluar darah ianya tidak mencukupi 24 jam. Darah yang keluar tersebut tidak memenuhi syarat asas haid. Berikut merupakan jawapan daripada soalan:

  1. Niat wuduk bagi wanita istihadhah adalah “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan fardhu solat kerana Allah Ta’ala”. Sekiranya najis masih keluar ketika berwuduk atau solat makba ia dimaafkan kerana kesukaran (masyaqqah) dan solatnya sah serta tidak perlu diqada’.

  2. Puan tidak dikira sedang berhaid kerana darah yang keluar tersebut tidak memenuhi syarat asas haid. Ia merupakan darah istihadhah dan puan masih dalam keadaan suci dimana puan tidak perlu untuk mandi wajib dan hendaklah solat seperti biasa. Jika terdapat solat yang ditinggalkan pada tempoh tersebut hendaklah diqada’ semula solat tersebut.

  3. Syarat bagi perempuan yang istihadhah hendaklah menyucikan dirinya iaitu dengan menukar pad yang mempunyai kesan darah dan memperbaharui wuduk setiap kali hendak menunaikan solat fardhu. 

  4. Tidak boleh menggabungkan dua solat fardhu walaupun puan solat zohor di penghujung waktu zohor. Hendaklah berusaha untuk mencari air di kawasan lain yang mana banyak kemudahan disediakan di tempat berdekatan. 

  5. Perempuan yang sedang istihadhah dihukumkan seperti perempuan lain yang sedang suci. Jadi, boleh menunaikan ibadah lain seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan sebagainya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 38

message user image