Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya mahu bertanya situasj saya sekarang ini. Saya dan isteri sedang VC, dan ada satu isu di mana isteri saya ada menyebut mengenai Dinner office saya. Isteri saya tidak mengizinkan saya untuk menyertai dinner tersebut. Isteri saya pon menambah, kalau die tidak mengapa, cuma saya tidak boleh join dinner office macam tu. Saya pon berseloroh tanpa fikir panjang dan berkata, kalau macam tu, awak pon tak boleh la pergi majlis macam itu juga ( saya maksudkan majlis dinner dgn company). Kalau awak pergi, tolak la satu (1). Adakah situasi ini menyebab kan jatuhnya talak kalau isteri saya pergi majlis tersebut pada masa hadapan? Buat masa sekarang, isteri saya tiada majlis sebegitu. Terima kasih.
Jawapan
Lafaz tersebut "Kalau awak pergi, tolak la satu" adalah lafaz taklik dalam bentuk kinayah (kiasan). Lafaz kinayah ini akan melihat kepada niat suami, sekiranya suami melafazkan "tolak la satu" itu dengan niat cerai atau talak, maka ia boleh menyebabkan jatuh talak, tetapi sekiranya suami tiada niat cerai atau talak, maka talak tidak jatuh. Ini kerana perkataan "tolak la satu" itu boleh memberi maksud yang pelbagai selain dari maksud cerai atau talak. Walau bagaimanapum, pengesahan lafaz cerai hendaklah dirujuk kepada pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran.
Sekian, terima kasih.