BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya tinggal di kolej matrikulasi. Saya ada buka satu perniagaan sambilan dan saya guna elektrik kolej untuk menjalankan perniagaan saya. Adakah penggunaan elektrik kolej itu haram?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام  ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara asasnya segala kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti di kolej kediaman adalah untuk kegunaan tertentu seperti kemudahan pelajar semasa pengajian dan perlulah dijaga dengan penuh sifat amanah. Termasuklah ekalan elektrik dikolej biasanya disediakan untuk kegunaan pelajar dalam aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran dan keperluan asrama, bukan untuk aktiviti komersial.

Dalam Islam, mengambil atau menggunakan hak orang lain tanpa izin dikenali sebagai ghasab (غصب), yang bermaksud perampasan atau pengambilan secara tidak sah. Perbuatan ini adalah haram dan termasuk dalam kategori dosa besar. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil

Ayat ini secara umum menekankan larangan mengambil harta orang lain secara tidak sah, termasuk dengan menipu atau menyalahgunakan kemudahan yang bukan milik sendiri tanpa izin pemiliknya. Jika elektrik yang digunakan tersebut dibiayai oleh kerajaan atau pihak pengurusan kolej, maka anda perlu mendapatkan izin mereka terlebih dahulu. Tanpa izin, penggunaannya boleh dikategorikan sebagai mengambil hak orang lain tanpa kebenaran yang dilarang dalam Islam.

Jika pihak kolej tidak menetapkan larangan atau telah memberikan izin secara umum, maka ia boleh dianggap sebagai dibenarkan dan hasil daripada perniagaan tersebut adalah dibolehkan untuk dijadikan sumber rezeki. Sebaliknya, jika ada larangan yang jelas maka penggunaannya adalah tidak dibolehkan dan hasil perniagaan tersebut boleh termasuk dalam kategori syubhah (meragukan).

Disarankan untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan kolej bagi mendapatkan keizinan sekiranya aktiviti perniagaan tersebut dilihat dapat membantu ekonomi pelajar secara peribadi atau jika tidak, disarankan mencari alternatif lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 50

message user image