BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalam Ustaz,

Saya nak tanya berkenaan solat berjemaah. Sebelum ni saya belajar kita sebagai makmum perlu ikut imam walaupun kita tak sempat baca surah Al-Fatihah. Itu yang saya pegang sehinggalah saya terjumpa video ceramah ustaz Azhar Idrus yang mengatakan bahawa makmum Muwafiq perlu habiskan bacaan surah Al-Fatihah sehingga selesai sebelum rukuk sama ada bersama imam atau sebelum imam selesai sujud kedua.

Jadi, banyak kali terjadi, saya solat jemaah dengan imam yang baca sangat laju, saya menjadi makmum Muwafiq dari rakaat pertama, saya tidak sempat menghabiskan surah Al-Fatihah di rakaat pertama, kedua, ketiga dan keempat. Disebabkan imam dah rukuk, saya akan turut serta rukuk tanpa menghabiskan bacaan surah Al-Fatihah. Ada juga kes yang saya berjaya menghabiskan bacaan Al-Fatihah di rakaat pertama dan kedua kerana imam membaca surah lazim tetapi saya tidak dapat menghabiskan bacaan surah Al-Fatihah di rakaat ketiga dan keempat. 

Soalan saya:

1. Adakah masih sah solat saya kerana kejahilan diri sendiri? 
2. Jika tidak, perlukah saya Qada semula semua solat-solat saya yang saya tidak ketahui berapa jumlahnya?
3. Bagaimana cara untuk saya Qada solat-solat saya kerana saya tidak ingat solat yang mana dan berapa jumlahnya?

Saya harap ustaz dapat menjawab soalan saya secepat mungkin. Terima kasih Ustaz. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Apa yang diterangkan oleh Ustaz Azhar Idrus adalah tepat. Makmum muwafiq perlu habiskan bacaan Surah al-Fatihah walaupun imam telah rukuk. Ini kerana Muwafiq berbeza dengan masbuq. Bagi makmum muwafiq yang terlambat disebabkan bacaan imam terlalu laju atau bacaan makmum yang perlahan, maka makmum diberi keuzuran untuk lewat mengikuti pergerakan imam selama 3 rukun panjang. Contohnya makmum masih lagi baca surah al-Fatihah dan imam telah rukuk. Dalam keadaan ini makmum perlu menghabiskan bacaan al-Fatihah dan rukuk sebelum imam selesai sujud kedua. 3 rukun panjang yang dimaksudkan adalah rukuk, sujud pertama dan sujud kedua. Jika makmum tidak sempat juga untuk mengikuti selepas daripada ini, maka makmum perlu mufaraqah atau lanjut mengikuti imam dan tambah satu rakaat lagi selepas imam bagi salam.

Bagi menjawab soalan yang diajukan, solat yang terdahulu dikira tidak sah tetapi dimaafkan atas kejahilan dan tidak perlu qadha' semula.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 46

message user image