Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya dah habis menqada puasa yang saya tinggalkan berpuluh tahun yang lalu, namun saya tidak mampu untuk membayar fidyah nya sekaligus. Boleh tak saya bayar beransur ansur sehingga tahun depan
Mohon pencerahan
Dari insan yang baru insaf
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan kerana ia menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Terdapat 2 kaedah bayaran fidyah yang boleh dipilih berdasarkan kemampuan, iaitu:
1. Tidak berganda: iaitu jumlah hari tidak berpuasa darab dengan nilai fidyah berdasarkan kepada jenis beras yang biasa dimakan atau atas kemampuan).
2. Berganda: iaitu menggandakan hasil darab hari ditinggalkan dengan nilai fidyah, didarabkan dengan tempoh tahun puasa itu ditinggalkan.
Justeru, individu bolehlah memilih kaedah yang dirasakan mampu untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, tidak menjadi masalah untuk membayar fidyah secara berperingkat dan beransur-ansur mengikut kemampuan.
Untuk mengetahui kaedah pengiraan yang sebenar, bolehlah merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk maklumat serta bimbingan lanjut. Semoga kita terus menjadi hamba Allah yang taat dan istiqamah dalam beribadah kepadaNya.